suria

Timor Leste Mahu Hantar Pembantu Rumah Ke Malaysia

KUALA LUMPUR: Timor Leste sedang meneroka kemungkinan menghantar pembantu rumah ke Malaysia, kata Dutanya ke negara ini Juvencio Da Jesus Martins.

Beliau berkata agensi pekerjaan di sini telah menemui beliau baru-baru ini untuk mencadangkan membawa masuk pembantu rumah dari negara itu ekoran permintaan tinggi bagi pembantu rumah asing di Malaysia.

Katanya beliau akan memaklumkan kepada kerajaan Timor Leste mengenai cadangan itu.

"Ini membabitkan kelulusan daripada kedua-dua kerajaan. Saya akan bangkitkan perkara itu dengan kerajaan saya dan jika diluluskan dari Dili, kita akan cuba membincangkan perkara tersebut dengan kerajaan Malaysian," kata beliau kepada Bernama.

Pada hakikatnya, katanya perkara itu pertama kali dibangkitkan pada 2005 semasa perbincangan dengan ketika itu Menteri Luar Timor Leste yang kini Presiden Jose Manuel Ramos-Horta, dengan bekas Menteri Luar Malaysia Tan Sri Syed Hamid Albar mengenai kemungkinan menghantar kira-kira 10,000 pembantu rumah ke Malaysia.

"Bagaimanapun, tidak ada perkembangan mengenai perkara tersebut selepas itu. Tetapi saya fikir perkara berkenaan masih relevan kerana ada permintaan tinggi, terutamanya daripada keluarga bukan Muslim untuk pembantu rumah di negara ini, kata beliau," kata beliau.

Malaysia kini menggaji kira-kira 320,000 pembantu rumah asing, kebanyakan dari Indonesia, Sri Lanka, Filipina, Kemboja dan Thailand.

Tetapi masalahnya ialah penyumberan pembantu rumah berlaku setelah kerajaan Indonesia berhenti menghantar pembantu rumah ke Malaysia pada Jun tahun lepas.

Bekas negara jajahan Portugus itu, yang memperoleh kemerdekaan pada Mei, 2002, Timor Leste mempunyai kira-kira 1.2 juta penduduk, meliputi 98 peratus penduduk beragama Kristian dan yang lain penganut Buddha.

"Oleh kerana ada juga penduduk Muslim di Timor Leste, kita juga boleh mengenalpasti pembantu rumah Muslim untuk keluarga Muslim di Malaysia. Jika kita boleh dapat kelulusan, Malaysia merupakan negara pertama untuk pembantu rumah kita ke luar negara," kata Martins.

Beliau berkata banyak manfaat jika pembantu rumah disumber dari Timor Leste, termasuk jarak antara kedua-dua negara, bahasa yang sama kerana mereka boleh bertutur dalam bahasa Indonesia dan Inggeris, yang merupakan bahasa yang digunakan ketiga bertugas di sana dan gaji yang munasabah.

"Selain itu, dengan menyediakan pekerjaan kepada orang kita, ia akan membantu mengurangkan kadar pengangguran di negara kita. Pengiriman wang akan membantu ekonomi kita dan mereka diambil sebagai pembantu rumah akan juga mendapat pengalaman," kata beliau. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain