suria

Tiada Cadangan Semak Tarif Air Bagi Sarawak: Awang Tengah

SIBU: Kerajaan negeri buat masa ini belum bercadang melakukan semakan terhadap tarif air walaupun terdapat permintaan bagi perkara itu.

Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Kedua negeri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata ini kerana kerajaan negeri tidak mahu menambah bebanan rakyat berikutan keadaan kegawatan ekonomi sekarang.

"Kami (Sarawak) adalah sebuah kerajaan yang berorientasikan rakyat, kami menjunjung slogan 1Malaysia "Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan"," katanya pada mesyuarat tahunan Lembaga Air Sibu di sini malam tadi.

Awang Tengah berkata semakan terakhir dibuat pada 1992 bagi pihak berkuasa bekalan air tempatan dan pada 1982 bagi bekalan air divisyen Jabatan Kerja Raya.

"Kami lebih suka jika pihak berkuasa terbabit melakukan penambahbaikan pengurusan mereka dengan mengambil langkah-langkah penjimatan kos yang sesuai," katanya dan menurutnya kerajaan masih mensubsidi bekalan tenaga kepada rakyat.

Mengenai isu lain, katanya terdapat keperluan untuk mengkaji kaedah terbaik bagi penyaluran air mentah ke beberapa kawasan di Sarawak kerana walaupun mempunyai loji-loji rawatan air yang baik tetapi mengalami kekurangan air mentah terutama pada musim kemarau.

"Perkara ini akan melibatkan wang yang banyak," katanya.

Beliau berkata Muskah dan Kuching merupakan antara kawasan yang mengalami masalah itu.

Kuching bernaib baik kerana masalah itu sedang diatasi melalui Empangan Bengoh yang akan dilaksanakan tidak lama lagi, katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain