SPRM Tahan 34 Individu Terlibat Seludup Pasir Ke Negara Jiran - Semasa | mStar

SPRM Tahan 34 Individu Terlibat Seludup Pasir Ke Negara Jiran

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)membongkar kes kecurian dan penyeludupan pasir ke negara jiran dan menahan 34 individu di seluruh negara, sejak semalam.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Mohd Shukri Abdull berkata tangkapan itu melibatkan 24 penjawat awam, lima orang awam, tiga pekerja swasta, seorang pegawai khas kepada ahli politik dan seorang setiausaha sulit kepada ahli politik.

"Sejak tahun lepas, SPRM menerima 410 maklumat berkaitan kes ini. Bertindak atas maklumat ini kita jalankan intipan, pemerhatian dan seterusnya siasatan dan hasilnya kita telah memulakan operasi minggu lepas," katanya pada sidang media di ibu pejabat SPRM di sini semalam.

Mohd Shukri berkata jumlah anggaran wang rasuah bagi kes itu melebihi RM280,000 dengan nilai suapan antara RM500 dan RM50,000 seorang.

"Ada kes-kes wang rasuah diterima secara bulanan dan terdapat tiga kes melibatkan rasuah seks," katanya.

Beliau berkata pemberian rasuah itu dipercayai bagi tujuan memproses permohonan permit pasir, mempercepat permohonan permit pasir dan tidak mengambil tindakan terhadap individu yang membawa pasir keluar tanpa permit.

Ditanya negeri dan jabatan yang terlibat, Mohd Shukri berkata setakat ini, beliau tidak boleh mendedahkannya kerana operasi dan siasatan masih berjalan.

Bagaimanapun, beliau berkata penjawat awam yang ditangkap merupakan pegawai kanan atau ketua jabatan, pegawai sokongan dan profesional.

"Saya tidak dapat beri gambaran yang jelas berhubung tindakan yang akan datang. Cuma saya boleh katakan bahawa kita menjangkakan akan ada lagi beberapa tangkapan termasuk melibatkan jawatan yang lebih tinggi," katanya.

Ditanya sama ada melibatkan mana-mana ahli politik, Mohd Shukri berkata: "Kita tidak dapat sebut. Tunggu, sabar dan lihat."

Mengulas tangkapan yang dibuat di sebuah negeri petang tadi berhubung kes itu, Mohd Shukri berkata ada cubaan menghalang individu tersebut untuk dibawa ke ibu pejabat SPRM.

Namun, katanya individu tersebut berjaya dibawa ke SPRM untuk diambil kenyataannya selepas perbincangan dengan peguam individu tersebut kira-kira dua jam.

Beliau turut meminta orang ramai supaya memberi kerjasama kepada SPRM dalam usaha membanteras kes rasuah sebegini.

"Kita bertindak atas maklumat orang ramai. Tidak rugi bekerja dengan kita. Bila kita bertindak, SPRM bukan dapat apa-apa pun. Kita bantu banteras rasuah, negeri pula tidak hilang pendapatan," katanya.

Beliau berkata sebahagian individu terbabit sudah dilepaskan selepas kenyataan mereka diambil manakala sebahagian lagi masih ditahan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

SPRM Sambut Baik Program 'Whistle Blowing'

Artikel Berikut

Sultan Johor Mangkat

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030... ketahui suara dan harapan rakyat

RAKYAT menantikan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 yang dapat memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat.

default image

Jom kongsi idea! Penduduk bandar diajak beri maklum balas draf Pelan Pembangunan KL

TRAJEKTORI perumahan dan komersial Kuala Lumpur diberikan perhatian dengan mendraf Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040 (PPKL 2040).

default image

Ketahui 8 petunjuk bagi memantau manfaat WKB 2030 dikongsi rakyat

INDIKASI sosial sedang dibina bagi memastikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) memenuhi sasaran dan memberi manfaat kepada semua.

default image

Teknologi analitik data raya asas pelaksanaan inisiatif kerajaan masa depan – Saifuddin Nasution

PROGRAM Subsidi Petrol merupakan inisiatif kerajaan untuk meringankan beban isi rumah berpendapatan rendah melalui pengagihan semula subsidi petrol.

default image

Perahu naga bakal 'membelah' Tasik Putrajaya, 90 pasukan korporat berentap rebut gelaran juara!

SEMUA peserta nampaknya tidak sabar untuk menyahut cabaran bagi merebut gelaran juara perlumbaan perahu naga di Tasik Putrajaya.

Artikel Lain