suria

Penjual Burger Diperintah Membela Diri Terhadap Pertuduhan Bunuh

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini memerintahkan rekod perbicaraan daripada kes jenayah seorang penjual burger sebelum ini, yang mendedahkan modus operandinya, diterima sebagai keterangan dalam perbicaraan kes bunuh itu sekarang.

Hakim Besar Malaya Tan Sri Arifin Zakaria, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk James Foong Cheng berkata dapatan mereka ialah bahawa modus operandi Mohamad Roslan Desa dalam kes terdahulu dan kes sekarang mempunyai persamaan.

Mahkamah berkata keterangan Roslan sebelum ini dalam kes menyebabkan kematian seorang wanita perlu dilayani dengan keyakinan penuh disebalik prejudis yang mungkin ada terhadap Roslan berkaitan kes terdahulu itu, kerana keterangan yang dipohon untuk diterima itu jauh lebih bernilai.

Mahkamah memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Roslan.

"Oleh yang demikian, jika hakim perbicaraan dan Mahkamah Rayuan menerima fakta yang sama sebagai keterangan dan menilai keterangan keadaan mengikut cara yang sepatutnya daripada hanya melihatnya secara sepintas lalu, keputusan mereka pasti sebaliknya," kata Arifin dalam penghakiman 21 muka surat yang disampaikan pada 18 Januari.

Sehubungan itu, panel itu membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk merujukkan semula kes Roslan ke Mahkamah Tinggi bagi membolehkannya membela diri terhadap pertuduhan membunuh Ooi Yean Wah, 24.

Dia dituduh membunuh Ooi di Jalan Solok Sembilan, Seberang Jaya, Butterworth, dan membuang mayat wanita itu dalam longkang di Kampung Padang Buluh, Tikam Batu, Kuala Muda, Kedah pada 1998.

Pihak pendakwaan membawa kes itu ke Mahkamah Persekutuan selepas Mahkamah Tinggi membebaskan dan melepaskan Roslan daripada pertuduhan bunuh itu tanpa dipanggil membela diri dan keputusan itu kemudiannya disahkan oleh Mahkamah Rayuan.

Mahkamah Tinggi semasa membebaskan penjual burger berumur 35 tahun itu, menolak permohonan pihak pendakwaan untuk memgemukakan fakta serupa daripada kes jenayah terdahulu Roslan, memutuskan tiada persamaan ketara antara apa yang berlaku dalam kes terdahulu dan kes sekarang.

Mahkamah Rayuan mengesahkan dapatan itu.

Fakta yang serupa terdiri daripada rekod perbicaraan, kertas pertuduhan dan nota keterangan daripada kes tertuduh yang terdahulu yang mendedahkan Roslan membuang angin tayar kereta mangsanya dan kemudian mengekorinya.

Berpura-pura mahu menghulurkan pertolongan, Roslan akan menghampiri mangsa dan selepas mendapat kepercayaan mangsa, dia akan masuk ke dalam kereta mangsa dan menikam mangsa dengan pisau.

Roslan kemudian akan meninggalkan mangsa di tempat lain dan beredar dengan memandu kereta mangsa sebelum meninggalkan kereta itu. Dia juga akan mengambil barangan kemas dan barangan lain milik mangsa.

Dalam kes terdahulu itu, Roslan dihukum penjara enam tahun setelah dia mengaku salah di Mahkamah Sesyen Butterworth terhadap pertuduhan menyebabkan kematian mangsa mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain