suria

Najib Pelawa Firma India Labur Dalam Model Ekonomi Baru

CHENNAI: Malaysia, yang berhasrat mengubah tahap ekonominya kepada ekonomi bernilai tinggi, kini membuka pintu kepada firma India kepakaran tinggi untuk melabur dalam model ekonomi baru yang dicadangkan itu.

Semasa berucap kepada ketua-ketua industri di Chennai hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak berkata syarikat-syarikat India dialu-alukan untuk mengambil bahagian dalam model ekonomi baru itu, yang bakal dilancarkan pada suku pertama 2010.

"Model berkenaan bertujuan mengalihkan pergantungan kami daripada asas pembuatan yang bergantung kepada buruh kos rendah dan separa mahir kepada yang memberi tumpuan terhadap sektor perkhidmatan moden dan teknologi tinggi yang bergantung kepada pekerja bergaji tinggi dan mahir.

"Kami perlu membawa Malaysia daripada ekonomi berpendapatan sederhana tinggi kepada ekonomi pendapatan tinggi menjelang 2020.

"Syarikat-syarikat India yang memberi tumpuan kepada R&D (penyelidikan dan pembangunan) dan D& D (reka bentuk dan pembangunan) dialu-alukan untuk meneroka dan memanfaatkan peluang dalam bidang ini," kata Najib pada pertemuan meja bulat di Chennai, di mana Perdana Menteri memulakan sesi kedua lawatan ke India.

Bagi melonjakkan agenda ekonominya, Malaysia memerlukan pelabur asing yang kukuh dalam industri berpengetahuan tinggi seperti teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), jentera dan peralatan, bioteknologi, peranti perubatan dan tenaga diperbaharui.

"Insentif yang menarik seperti status perintis dan elaun cukai pelaburan ditawarkan kepada syarikat-syarikat yang melabur dalam bidang ini," kata Najib.

Awal hari ini, Najib menyaksikan pemeteraian dan pertukaran 13 memorandum persefahaman (MOU) antara syarikat-syarikat India dan Malaysia.

Tiga MoU yang ditandatangani hari ini adalah antara Malaysian Biotech dan Dr Reddy's Laboratories Ltd, Malaysian Biotech dan Biocon Ltd, dan Multimedia Development Corporation dan Persekutuan Dewan Perniagaan India (FICCI). - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain