suria

Mubarak Bantu Kerajaan Sampai Maklumat Kepada Rakyat

KUALA LUMPUR: Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) akan menjalin kerjasama lebih erat dengan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan untuk membantu rakyat dengan penubuhan jawatankuasa bersama antara persatuan itu dan kementerian tersebut.

Menteri berkenaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata penubuhan jawatankuasa itu diharap dapat mendorong persatuan tersebut untuk bergiat aktif dalam membantu kerajaan menyampaikan maklumat kepada rakyat terutamanya mengenai gagasan 1Malaysia menerusi program-program kementerian.

"Dan untuk itu, kementerian tidak (mahu) mensia-siakan khidmat yang boleh diberikan bekas-bekas wakil rakyat di seluruh tanah air," katanya selepas pertemuan dengan anggota persatuan itu di pejabatnya di sini hari ini.

Menurut Rais, dalam pertemuan hampir sejam setengah itu, Mubarak telah mengemukakan pandangan positif bagi menjayakan gagasan 1Malaysia, di samping menyatakan pendirian menyokong kerajaan Barisan Nasional pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Salah satu daripadanya Mubarak berharap dapat bangkit bersama memberi penerangan dan juga mengaktifkan persatuan mereka bagi menjayakan 1Malaysia, supaya kesejahteraan masyarakat di Malaysia berterusan dan tidak mengalami pertikaian seperti pertikaian agama dan lain-lain," katanya.

Selain itu, Mubarak juga akan mengembleng tenaga bersama Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) termasuk menyertai sesi-sesi penerangan dan latihan anjuran jabatan itu.

Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Presiden Mubarak Tan Sri Abu Zahar Ujang, Ketua Setiausaha kementerian itu Datuk Seri Kamaruddin Siaraf dan Pengarah Jasa Datuk Fuad Hassan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain