suria

Malaysia Berpotensi Jadi Pengeluar Utama Vaksin Halal

PETALING JAYA: Malaysia berpotensi menjadi pengeluar utama vaksin halal di dunia, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir.

Beliau berkata pembangunan vaksin itu boleh membantu meningkatkan kesihatan awam di negara Islam.

"Pada masa ini, majoriti vaksin halal dikeluar dan digunakan di negara bukan Islam. Penerimaannya amat baik sekali.

"Jadi, jika vaksin boleh dihasilkan dalam negara, saya pasti, kita boleh memenuhi permintaan produk itu di Asia," kata Mukhriz.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran siri produk penjagaan kesihatan dan peribadi Frontier International, "Angkasa" dan kedai utamanya di Malaysia di sini hari ini.

Frontier International (M) Sdn Bhd merupakan pengeluar produk kesihatan tambahan halal global.

Mukhriz berkata melalui kementerian, para usahawan yang menjalankan perniagaan seperti itu digalakkan dengan pelbagai insentif, pinjaman dan geran. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain