suria

Lima Pelatih Puspen Dijatuhi Hukuman

KANGAR: Lima pelatih Pusat Pemulihan Narkotik (Puspen) Bukit Chabang hari ini menerima hukuman berbeza oleh dua mahkamah majistret di sini meskipun dihadapkan atas tuduhan yang sama.

Kesemua mereka yang berumur antara 22 dan 37 tahun dituduh melarikan diri daripada Puspen Bukit Chabang pada 17 Disember 2009 pukul 2.30 pagi dan didakwa mengikut Seksyen 19(1)(b) Akta Penagihan Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Tiga daripada mereka yang dihadapkan di Mahkamah Majistret Satu dijatuhi hukuman sembilan bulan penjara berkuatkuasa dari tarikh ditangkap tetapi dua lagi yang dihadapkan di Mahkamah Majistret Dua masing-masing menerima hukuman 24 bulan penjara berkuatkuasa dari tarikh ditangkap dan satu sebatan.

Di Mahkamah Majistret Satu, Majistret Noorhisham Mohd Jaafar menjatuhkan hukuman sembilan bulan penjara terhadap Fauzi Yusof, 35, Rahilmi Maslan, 23, dan Awang Taufik Awang Sahari, 27, setelah mereka mengaku salah terhadap pertuduhan itu.

Noorhisham berkata oleh kerana kesemua mereka melakukan kesalahan kali pertama, hukuman yang dikenakan begitu ringan berbanding hukuman maksimum yang sepatutnya dikenakan.

Jika sabit kesalahan mengikut seksyen itu, mereka boleh dihukum penjara tidak lebih lima tahun dan tiga sebatan atau keduanya.

Di Mahkamah Majistret Dua, yang terletak hanya beberapa meter daripada Mahkamah Majistret Satu, Majistret M. Mageshwary menjatuhkan hukuman 24 bulan penjara dan satu sebatan terhadap Mohd Sharizan Abdullah, 28, dan Azami Abu Bakar, 37, atas tuduhan yang sama.

Kesemua pelatih itu ditangkap di lokasi berbeza antara 18 dan 24 Disember lalu.

Pendakwaan terhadap kelima-lima tertuduh itu dilakukan oleh pegawai pendakwa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Mohd Taufik Suhail manakala para pelatih itu tidak diwakili peguam. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain