suria

Khir Toyo Tidak Berhasrat Jadi MB Jika BN Tawan Selangor

SHAH ALAM: Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Khir Toyo berkata beliau tidak berhasrat untuk memimpin negeri itu sekiranya Barisan Nasional (BN) menang dalam pilihan raya umum akan datang.

Mohamed Khir berkata, walaupun keutamaannya adalah melihat BN menggulingkan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya akan datang, namun beliau tidak berhasrat untuk kembali menjadi menteri besar.

Katanya, beliau telah memberikan khidmat yang terbaik dalam tempoh lapan tahun semasa menjadi menteri besar dan beliau merasakan perlu ada calon baru diberi peluang untuk memimpin negeri elit itu.

“Saya bangga kerana selama tempoh lapan tahun saya memimpin negeri ini, Selangor berjaya mencapai status negeri maju.

“Negeri ini telah berjaya mencapai pertumbuhan ekonomi yang baik di bawah kepimpinan saya dan saya fikir sudah tiba masanya seorang muka baru diberi peluang untuk memimpin negeri ini jika Barisan menang dalam pilihan raya akan datang,” katanya kepada The Star semalam.

Beliau berkata, imej dan reputasinya telah tercemar teruk sejak Pakatan Rakyat merampas negeri itu pada pilihan raya umum 8 Mac 2008.

Menurutnya, beliau telah dijadikan sasaran oleh musuh-musuh politiknya dalam BN mahupun pembangkang ekoran kekalahan parti itu di Selangor.

“Mereka melemparkan pelbagai macam tuduhan terhadap saya dan yang paling teruk mereka menuduh saya seorang pemimpin yang korup.

“Saya tidak takut dengan tuduhan-tuduhan tersebut tapi reputasi dan imej saya yang rosak itu tidak diperbaiki dan tiada jalan keluar bagi saya walaupun saya bersih,” katanya sambil menambah hati kecilnya yakin tidak melakukan sebarang kesalahan sepanjang menjadi menteri besar.

Biarpun kecewa dan terluka dengan tuduhan-tuduhan itu, Mohamed Khir berkata, beliau kini lebih bahagia daripada sebelum ini.

Katanya, pengundi-pengundi di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Panjang mendapat khidmatnya yang lebih baik sekarang berbanding ketika beliau menjadi menteri besar.

“Saya punya banyak masa untuk diri sendiri dan keluarga sekarang, berbanding ketika menjadi menteri besar, boleh dikatakan saya tidak dapat meluangkan masa dengan keluarga,” ujarnya.

Ditanya tentang kemungkinan jentera BN berhasrat untuk menumbangkan kerajaan Pakatan Rakyat dalam tempoh separuh penggal, Mohamed Khir berkata BN tidak berniat untuk berbuat demikian.

Jelasnya, jentera BN sedang bekerja keras untuk mengembalikan keyakinan rakyat di Selangor dalam usaha untuk mengembalikan kuasa mereka dalam pilihan raya umum akan datang.

“Kami mahu menang secara adil dan saksama kerana kami tidak mahu melihat apa yang berlaku di Perak berulang di Selangor.

“Kemenangan di Selangor adalah keutamaan tertinggi kita dan kita perlu membuktikan kemampuan itu kepada orang ramai untuk mencapai kejayaan itu," katanya.

Menurut Mohamed Khir, pada ketika ini prestasi ekonomi negeri itu yang lemah dan kemelesetan ekonomi tidak membantu kerajaan Pakatan Rakyat.

Beliau berkata, usaha yang mereka lakukan tidak mencukupi dan pertumbuhan ekonomi tidak menunjukkan perkembangan secukupnya di bawah pimpinan Pakatan Rakyat.

“PR telah melumpuhkan pertumbuhan ekonomi negeri dan semakin berkurangan pelabur yang berminat untuk melabur di sini, keadaan ini berbeza semasa saya menjadi menteri besar," katanya sambil menambah beliau telah berjaya memperoleh jumlah pelaburan yang sangat besar di Selangor.

Mohamed Khir berkata, pertelingkahan dalaman yang berterusan dalam kerajaan PR memberi petanda baik kepada BN.

Katanya, kedudukan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai peneraju negeri terancam ekoran masalah dalaman yang berlaku dalam partinya sendiri.

“Orang dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menimbulkan banyak masalah kepada Khalid supaya mereka dapat menyingkirkannya daripada jawatan menteri besar,” katanya.

Beliau turut menafikan bahawa Umno bertanggungjawab terhadap masalah yang melanda PKR.

Katanya, ahli-ahli PPKR sendiri yang berminat untuk menjadi menteri besar dan Umno tidak terlibat dalam perkara itu seperti yang didakwa oleh Khalid.

“Umno seringkali dijadikan kambing hitam dalam semua masalah yang berlaku dalam PKR,” katanya sebagai mengulas peletakan jawatan 13 daripada 16 ahli jawatankuasanya (AJK) PKR Bahagian Kuala Selangor yang diketuai Khalid.

Kesemua 13 AJK berkenaan termasuk Ketua Angkatan Muda (AMK), Nazaruddin Darmawan dan Ketua Wanita, Fauziah Sulaiman meletak jawatan secara berperingkat bermula November lalu hingga kelmarin kerana hilang kepercayaan terhadap Abdul Khalid yang juga Pengerusi Perhubungan PKR Selangor.

Situasi ini bermakna Khalid hilang jawatan Ketua Bahagian sehingga pemilihan baru diadakan yang dijangka pada Mac ini.

Artikel Berikut

Artikel Lain