suria

Jangan Lupa Perlindungan Terhadap Hak Majikan Malaysia, Kata Ahli Akademik

JAKARTA: Perlindungan terhadap hak majikan Malaysia tidak harus diketepikan dalam penetapan peraturan berkaitan perlindungan dan hak ke atas pembantu rumah Indonesia, menurut seorang ahli akademik Malaysia.

Dr Salawati Mat Basir berkata selain kerugian yang terpaksa mereka tanggung kerana mengambil pembantu rumah yang bermasalah dan melarikan diri, mereka juga menghadapi masalah penderaan anak-anak oleh pekerja mereka malah ada juga kes isteri menjadi janda kerana suami mereka diambil oleh pembantu rumah mereka.

"Janganlah terlepas pandang hanya kerana kes penderaan terhadap pembantu rumah yang boleh dibilang dengan jari, yang masih dapat pembelaan dari mahkamah Malaysia, masih dalam perbicaraan, kita menutup peluang hak-hak majikan Malaysia yang tak pernah sekalipun dibincangkan dalam sebarang seminar antarabangsa, tentang kerugian kami, perasaan kami.

"Berapa ramai isteri menjadi janda kerana orang gaji ambil suaminya," kata pensyarah Fakulti Undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu pada seminar Nasional Perlindungan Terhadap Tenaga Kerja Indonesia di Malaysia di Universiti Indonesia di sini.

Dr Salawati yang telah membuat kajian berhubung masalah pembantu rumah Indonesia sejak tahun 2005 berkata majikan Malaysia Malaysia bersedia membayar gaji lebih tinggi kepada pembantu rumah Indonesia jika mereka benar-benar berkualiti.

Majikan di Malaysia perlu membayar RM8,000 untuk mendapatkan pembantu rumah Indonesia dan mereka berharap mendapat pekerja yang terlatih yang faham dengan tugas yang perlu mereka laksanakan bukannya pembantu yang tidak berkebolehan.

"Orang Malaysia bersedia untuk membayar banyak tetapi sila hasilkan mereka yang berkualiti. Filipina memang hantar yang bagus," katanya merujuk kepada kemahiran yang dimiliki pembantu rumah Filipina yang dihantar ke Malaysia dan dibayar gaji RM1,200 hingga RM1,500 sebulan.

Kerajaan Indonesia harus faham, bahawa pekerja yang akan dihantar ke Malaysia bukan kelas kedua tetapi pekerja berkualiti sepertimana Filipina yang mempersiapkan pekerja mereka dengan ilmu untuk tujuan pekerjaan, katanya.

Oleh itu, beliau berkata pembantu rumah Indonesia mesti dilatih dengan kemahiran khusus seperti menjaga anak atau menjaga rumah sebelum mereka dibawa masuk ke Malaysia namun perkara itu tidak berlaku dalam kebanyakan kes.

Keadaan itu akan menyebabkan pembantu rumah itu melakukan kesalahan-kesalahan yang boleh mendatangkan kemarahan kepada majikan, katanya.

"Malaysia sepatutnya mendapat pekerja-pekerja yang berdedikasi dan memahami kehendak majikan Malaysia."

Mengenai cadangan pindaan terhadap memorandum persefahaman yang akan ditandatangani antara Malaysia dan Indonesia yang menetapkan gaji minimum RM550, dengan satu hari bercuti, majikan membuka akaun bank atas nama pekerja mereka dan membenarkan pekerja itu memegang pasport sendiri, beliau berkata langkah itu adalah mencukupi.

Ini bermakna majikan boleh masukkan gaji dalam akaun pekerja, dan jika berlaku penganiayaan, pekerja boleh bawa buku bank ke pejabat kedutaan untuk semak sama ada gaji itu dibayar atau tidak, tambahnya.

Katanya pihak Indonesia mengatakan gaji yang diterima oleh pembantu rumah Indonesia di Malaysia adalah antara yang paling rendah di dunia, namun mereka masih tetap berminat menghantar pekerja mereka ke Malaysia walaupun mereka mempunyai pilihan untuk menghantar pekerja itu ke negara lain seperti di Timur Tengah, Hong Kong dan Singapura. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain