suria

India Minta Malaysia Bantu Banteras Keganasan

NEW DELHI: India berharap Malaysia akan terus berusaha menjamin keselamatan di Selat Melaka.

Perdana Menteri India Manmohan Singh turut meminta agar Kuala Lumpur membantu dalam menangani keganasan serantau.

Pemimpin India itu memberitahu demikian kepada Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu perbincangan di sini petang semalam.

"India melahirkan kebimbangan mereka mengenai isu keganasan khususnya selepas serangan di Mumbai (26 Nov 2008) dan berharap kita akan bekerjasama dengan mereka dalam soal berkongsi maklumat," kata Najib kepada wartawan Malaysia.

Perdana Menteri berkata India meminta Malaysia untuk terus memastikan bahawa Selat Melaka sentiasa selamat untuk kapal-kapal asing.

Selat itu merupakan laluan penting kepada kapal-kapal dagang dan minyak termasuk dari India.

Isu keselamatan menjadi antara tajuk utama dalam perbincangan pemimpin kedua-dua negara sempena lawatan rasmi Najib selama empat hari ke India.

Ketika ditanya mengenai penangkapan 34 orang di Malaysia berhubung kegiatan menjual pasir kepada negara jiran, Najib berkata biarlah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan untuk memastikan sama ada terdapat unsur rasuah atau salah guna kuasa.

"Jika ada elemen ini, terpulang kepada SPRM dan Peguam Negara untuk tentukan sama ada, ada kes atau tidak," katanya.

Akhbar di Malaysia hari ini melaporkan bahawa SPRM telah memberkas 34 orang termasuk pembantu kepada anggota exco, penjawat awam dan ahli perniagaan, dipercayai terlibat dalam kegiatan itu. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain