suria

Hishammuddin Tidak Tolak Ada Usaha Gagalkan Konsep 1Malaysia

KUALA TERENGGANU: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein tidak menolak kemungkinan bahawa insiden membakar gereja dan surau merupakan satu cubaan untuk mengagalkan gagasan 1Malaysia.

Beliau bagaimanapun yakin gagasan yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu tidak akan terjejas dengan cubaan itu.

Katanya beliau percaya orang ramai akan memahami bahawa pengertian sebenarnya gagasan 1Malaysia ialah untuk memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama ke arah kemajuan yang lebih tinggi.

"Gagasan 1Malaysia...bertepatan dengan keperluan dan tuntutan orang ramai," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program "Juara Rakyat" peringkat negeri di Dewan Sekolah Menengah Teknik Terengganu, Jalan Lapangan Terbang Kuala Terengganu, di sini.

Hishammuddin yang juga Naib Presiden Umno berharap semua pemimpin Umno akan memberikan sokongan padu dalam menjayakan gagasan itu.

Mengenai kejadian membakar dua buah surau di Muar, Johor semalam, Hishammuddin yang kesal dengan kejadian itu berkata beliau percaya tindakan itu bukan sahaja rasa kecewa di kalangan masyarakat Islam tetapi juga bukan Islam yang selama ini hidup dalam keadaan yang rukun dan damai.

"Memang saya kecewa dan saya rasa majoriti rakyat Malaysia juga kecewa. Bila gereja dibakar, saya tengok majoriti umat Islam marah, kecewa dan bila berlaku (bakar) surau di Muar, yang bukan Islam pun kecewa."

Dalam pada itu, beliau berkata Ketua Polis Negara dan timbalannya serta Ketua Polis Johor telah diarahkan supaya segera menjalankan siasatan berhubung insiden cubaan membakar dua buah surau itu.

Hishammuddin berkata walaupun jumlah kerugian yang dianggarkan kira-kira RM500 bagi kedua-dua buah rumah ibadat terbabit adalah kecil, namun tindakan yang dilihat cuba mencetuskan keadaan yang tegang itu dipandang serius oleh kerajaan.

Beliau meminta rakyat bertenang dan yakin dengan siasatan yang dilakukan oleh polis dalam usaha menjejaki mereka yang terlibat dalam cubaan membakar dua buah surau berkenaan.

"Bila kita kata kita akan ambil tindakan, kita akan siasat dengan bersungguh-sungguh dan kita akan bawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain