suria

Shahrukh Terlepas Tuduhan Menipu

KUALA LUMPUR: Seorang warga Bangladesh hari ini dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini daripada tuduhan menipu melibatkan US$100,000 (RM336,564).

Hakim Asmadi Hussin membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Shahrukh Biswas, 30.

Sepanjang perbicaraan yang bermula 16 Nov tahun lepas, pihak pendakwaan memanggil seramai empat orang saksi termasuk pegawai polis.

Shahrukh didakwa menipu ahli perniagaan Mustaqeem Sulaiman, 36, untuk mempercayai kononnya sejumlah wang kertas dolar Amerika Syarikat adalah tulen sedangkan ia palsu sehingga mendorong Mustaqeem menyerahkan wang berjumlah US$100,000 kepadanya untuk urusan penukaran wang.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah hotel di sini pada 9.30 malam 21 Mac 2008.

Shahrukh diwakili peguam Datuk N. Sivananthan manakala pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Lokman Kasim. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain