suria

Saksi Buat Aduan SPRM Selepas Tidak Puas Hati Tawaran Harga

KUALA LUMPUR: Seorang saksi dalam perbicaraan rasuah bekas Ketua Pengarah Imigresen Malaysia Datuk Wahid Md Don memberitahu Mahkamah Sesyen hari ini bahawa beliau telah diminta untuk membayar imbuhan RM87,500 kepada seorang ejen untuk mempercepatkan kelulusan visa bagi 250 pekerja Bangladesh.

Mohamad Hasnan Hassan, 41, perunding sebuah syarikat pekerja asing, menjelaskan beliau telah bertemu dengan seorang ejen pekerja asing, Buruganudeen Mohamed Ismail, 50, yang mendakwa boleh membantunya meluluskan visa dengan segera menerusi kuasa yang ada pada Ketua Pengarah Imigresen.

Saksi pihak pendakwaan itu berkata beliau yang tidak berpuas hati dengan tawaran itu kemudian membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 3 Julai, 2008.

Mohamad Hasnan berkata demikian ketika memberikan keterangan sebagai saksi ke-18 pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes Wahid, 57, yang didakwa menerima rasuah RM60,000 daripada ahli perniagaan Datuk Low Chang Hian sebagai bayaran upah bagi mempercepatkan kelulusan permohonan 4,337 visa pekerja Bangladesh, pada 19 Ogos 2008.

Wahid yang diwakili peguam bela, Datuk V. Sithambaran didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di Jalan Lembah Ledang, Off Jalan Duta, pada pukul 10.15 malam 10 Julai, 2008.

Dalam prosiding hari ini, Mohamad Hasnan berkata selepas beberapa hari aduan itu dibuat, SPRM telah mengaturkan pertemuan antara Buruganudeen dengannnya di sebuah restoran di Taman Sri Gombak untuk membuktikan Buruganudeen melakukan kesalahan rasuah.

"Saya telah menyediakan bank draf berjumlah RM87,500 untuk 250 pekerja Bangladesh. SPRM turut menyediakan wang tunai RM1,750 bagi pertambahan lima lagi pekerja asing.

"Atas nasihat SPRM saya diminta mengeluarkan kemeja yang saya pakai bagi memberi isyarat bahawa bank draf dan wang berkenaan sudah diserahkan kepada Buruganudeen," katanya.

Mohamad Hasnan memberitahu mahkamah bahawa Buruganudeen menerima bank draf dan wang tunai berkenaan tetapi beliau tidak pasti sama ada Buruganudeen ditahan atau sebaliknya selepas membuat penyerahan itu.

Wahid didakwa mengikut Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, atau mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rosbiahanin Arifin bersambung 26 Januari ini. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain