suria

Polis Tahan Tiga Lelaki, Rampas Barang Curi Lebih RM10,000

KAMPAR: Kehilangan barangan elektrik dan perkakas rumah di sekitar kawasan perumahan di Taman Kampar Perdana sejak Jun 2009 terjawab apabila polis menahan tiga lelaki dalam satu serbuan di sebuah rumah di taman berkenaan semalam.

Ketua Polis Daerah Kampar Supt Abdul Aziz Salleh berkata ketiga-tiga lelaki berusia 19 hingga 43 tahun yang berasal dari sini dan Selangor itu ditahan pukul 12 tengah malam.

Berdasarkan maklumat serta intipan selama dua minggu, polis Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kampar yang diketuai oleh ASP Zulkifeli Pajar telah menyerbu rumah tersebut dan menahan tiga lelaki terbabit serta menemui 44 jenis barangan elektrik dan peralatan rumah yang telah dicuri oleh kumpulan berkenaan, katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Abdul Aziz berkata polis turut menemui pelbagai jenis senjata antaranya dua bilah pisau pemotong daging, pemutar skru, sarung tangan, kapak, parang dan gergasi besi yang dipercayai digunakan dalam kegiatan tersebut.

Antara barangan elektrik yang dirampas adalah televisyen, peti sejuk, pengisar buah, periuk nasi, kuali, pengering rambut, perakam video, kipas, sterika, komputer, basikal dan mesin basuh, yang kesemuanya bernilai lebih RM10,000.

Beliau berkata kumpulan tersebut mengunakan lori yang disewa untuk mengangkut barangan tersebut, dan dengan tertangkapnya tiga lelaki berkenaan, polis percaya telah berjaya menyelesaikan beberapa kes pecah rumah di sekitar daerah ini dan hasil siasatan awal juga mendapati kumpulan tersebut juga telah melakukan 15 kes pecah rumah.

Polis juga sedang mengesan dua lagi lelaki dipercayai ahli kumpulan tersebut dan kedua-duanya telah dikenalpasti dan akan ditangkap dalam tempoh terdekat, katanya.

Ketiga-tiga suspek terbabit akan dibawa ke Mahkamah Kampar esok untuk direman dan mereka akan disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 14 tahun.

Abdul Aziz berkata modus operandi yang digunakan oleh kumpulan ini adalah memecah masuk ke dalam rumah mangsa yang kebanyakannya telah ditinggakan oleh penghuninya selama beberapa hari atau keluar bekerja.

Sebelum itu kumpulan terbabit akan membuat pemeriksaan terlebih dahulu dengan meronda di taman-tamah perumahan sebelum melakukan pecah rumah, katanya.

Polis juga mendapati barangan yang dicuri dijual dengan harga yang murah kepada orang ramai.

Katanya orang ramai yang membeli dan menyimpan harta curi juga akan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan akan dihukum penjara sehingga lima tahun atau dikenakan denda atau kedua-duanya sekali.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain