suria

Polis Tahan Lelaki Dan Rampas Senapang Buatan Sendiri

PASIR PUTEH: Polis menahan seorang lelaki dan merampas sepucuk senapang angin buatan sendiri di rumahnya di Kampung Kemal, dekat sini, dua hari lepas.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, DSP Mohd Kamal Zainal berkata lelaki berumur lingkungan 30an itu ditahan oleh sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh yang memeriksa rumah berkenaan selepas mendapat maklumat orang ramai.

Beliau berkata senjata yang menggunakan 'ball bearing' sebagai peluru itu cukup berbahaya bukan sahaja kepada orang lain di sekitarnya, malah juga kepada penggunanya.

"Senapang itu menggunakan kuasa angin, dihasilkan dengan menggabungkan bahan-bahan tertentu termasuk balang alat pemadam api kecil yang dilengkapi meter tekanan angin," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya lelaki itu memberi alasan menggunakan senjata itu untuk menembak musuh tanaman seperti tupai, namun Mohd Kamal berkata alasan itu tidak boleh diterima kerana memiliki dan membuat senjata seperti ini adalah menyalahi undang-undang.

"Ia merupakan senjata berbahaya yang memerlukan pemiliknya mendapatkan permit terlebih dahulu sebelum boleh memiliki dan menggunakannya," katannya dan menambah lelaki itu ditahan untuk disiasat mengikut Sekyen 33 Akta Senjata 1960 yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain