suria

PGM Kesan Seorang Wanita Dalang Penyeludupan Minyak, Sediakan 20 Kenderaan Sehari

PENGKALAN KUBOR: Seorang wanita dari negara jiran didakwa mengetuai sindiket penyeludup minyak dengan menyediakan 20 kenderaan pikap untuk membeli minyak petrol dan diesel di negara ini dalam sehari.

Pegawai Pemerintah Pasukan Gerakan Marin (PGM) Pengkalan Kubor, DSP Tan Cheng San berkata taktik sindiket itu didedahkan hasil soal siasat oleh anggota PGM yang menahan salah seorang pemandu pikap itu semalam.

"Hasil soal siasat terhadap seorang lelaki yang memandu kenderaan pikap dari negara jiran, ketika ditahan di kawasan Zon Bebas Cukai, di sini kira-kira pukul 3.40 petang semalam, beliau mengakui diupah oleh seorang wanita yang dipanggil mak cik, untuk mengisi minyak ke dalam kenderaan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Tan berkata lelaki yang berumur lingkungan 30an itu juga memberitahu 'mak cik' berkenaan mempunyai 20 buah kenderaan pikap yang digunakan untuk tujuan menyeludup minyak. "Taktik yang digunakan oleh penyeludup ini sa ma sahaja iaitu mereka mengubah tangki asal untuk mengisi minyak seludup sehingga 300 liter," katanya.

Tan berkata penyeludup berkenaan didapati sekurang-kurangnya akan memasuki negara ini sebanyak tiga kali sehari untuk mengisi minyak.

"Mereka juga licik apabila hanya mengisi sehingga RM20 sahaja di setiap stesen minyak bagi mengaburi mata pihak stesen minyak dan pihak berkuasa," katanya. Kerajaan pada 16 Dis lepas menetapkan semua kenderaan negara jiran hanya boleh mengisi bahan api sebanyak 20 liter sahaja dalam lingkungan 50 kilometer dari kawasan sempadan negara. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain