suria

Penggangur Dijatuhi Hukuman Gantung Terhadap Kesalahan Bunuh

SIBU: Seorang pengangur berumur 40 tahun dijatuhi hukuman gantung terhadap kesalahan menikam mati seorang wanita di Lembangan Lane dekat Jalan Central di sini tiga tahun lepas.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Linton Albert menjatuhkan hukuman itu terhadap Tiong Ing Soon selepas mendapati beliau bersalah membunuh Soon Pek Lian, 28, pada kira-kira pukul 7.30 malam, 25 Ogos 2006.

Dalam kejadian pada 2006 itu Soon sedang menunggang motosikal dengan seorang kawan wanita bersama anaknya sebelum diserang oleh Tiong semasa beliau berhenti untuk memeriksa tayar motosikalnya.

Tiong yang tiba-tiba muncul entah dari mana menikam Soon berulang kali di bahagian dada dengan pisau yang baru dibeli yang berharga RM2.90.

Tiong turut menikam rakan Soon dan anaknya, namun kedua-dua mereka selamat dalam serangan itu.

Dalam penghakimannya Linton berkata Tiong melakukan pembunuhan berdasarkan kepada fakta bahawa Soon meninggal dunia disebabkan kecederaan akibat perbuatan Tiong.

Tiong yang diwakili oleh peguam Louis Jarau semasa pembelaannya berkata beliau tidak menyedari apa yang dilakukannya pada hari kejadian.

Pihak pendakwaan memanggil 19 saksi sepanjang perbicaraan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain