suria

Pemandu Lori Cedera Dalam Cubaan Samun

KUALA KUBU BAHARU: Seorang pemandu lori menerima sepuluh jahitan di dahi dan kepala selepas diserang pemandu dan kelindan lori yang mahu menyamun treler yang dipandunya di sini awal hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi itu, S Ramiah, 41, yang memandu treler bermuatan biskut dihampiri sebuah kepala treler berwarna hijau yang dinaiki tiga lelaki ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat di situ.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Norel Azmi Affandi Yahya berkata suspek memecahkan cermin hadapan kenderaan itu sebelum menarik keluar dan memukul mangsa menggunakan sebatang besi.

"Ketika kejadian, kebetulan dua lelaki sukarelawan polis dari Rela yang baru selesai bertugas di Balai Polis Kuala Kubu Baharu melalui kawasan itu dan menghubungi polis.

"Menyedari kehadiran anggota Rela berkenaan, suspek melarikan diri tanpa sempat membawa lari treler lapan tan mangsa manakala mangsa mengalami kecederaan di dahi, kepala dan tangan," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini

Beliau berkata ketiga-tiga suspek berjaya ditahan kira-kira 15 minit kemudian apabila kereta peronda polis menemui mereka dalam treler di Antara Gapi dekat Serendah.

Norel berkata hasil siasatan awal mendapati treler terbabit milik sebuah syarikat pengangkutan di Shah Alam dan dua suspek yang berusia 30 dan 33 tahun adalah pemandu dan kelindan lori manakala seorang lagi suspek berusia 21 tahun merupakan rakan mereka.

Pemandu dan kelindan lori itu telah bekerja selama 10 tahun dengan syarikat itu dan sedang dalam perjalanan untuk menghantar muatan minuman dari Kampar ke Subang dan polis akan menyiasat sama ada mereka turut terlibat dengan kejadian samun treler lain di kawasan itu, katanya.

Sementara itu S. Ramiah ketika ditemui berkata ketika kejadian beliau memandu kenderaan itu seorang diri dari sebuah kilang di Alor Gajah Melaka menghala ke Ipoh.

"Saya tidak dapat berbuat apa-apa...selepas mereka menarik keluar dan memukul saya, mereka berang apabila treler yang saya pandu tidak dapat dilarikan kerana ia dilengkapi sistem keselamatan.

"Kejadian berlaku begitu pantas, kira-kira lima minit. Ketika mereka menyerang, saya hanya sempat menekan suis yang menyebabkan treler itu tidak akan dapat digerakkan meskipun enjinnya dihidupkan," katanya yang telah lapan tahun bekerja sebagai pemandu lori.

Sementara itu, Norel berkata polis kini mencari dua lelaki yang disyaki perancang utama kes pembunuhan remaja berusia 19 tahun yang mayatnya ditemui dalam pembentung Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Bukit Sentosa dekat Bukit Beruntung 13 Jan lepas.

Mereka ialah Chandrasegaran a/l Sukumaran atau dikenali sebagai Pachai, 34, alamat terakhir di No 91-B, Ladang Mary, 45800, Batang Berjuntai, Kuala Selangor dan seorang lagi dikenali sebagai Boy, atau nama sebenarnya Yuvaraja a/l Supramaniam, 23, beralamat terakhir di No 29, Jalan Teratai 18, Bukit Beruntung.

Sebelum ini, 10 orang, termasuk dua wanita berusia antara 15 dan 30 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes itu yang dipercayai bermotifkan dendam. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain