suria

Klinik 1Malaysia Mendapat Sambutan Luar Dugaan Disebalik Kesangsian Awal

KUALA LUMPUR: Klinik 1Malaysia yang dilancarkan kira-kira tiga minggu lepas telah mendapat sambutan di luar dugaan daripada rakyat.

Ini disebalik kesangsian awal oleh pihak tertentu mengenai kejayaan klinik itu yang hanya mengenakan bayaran RM1 sahaja dan dikendalikan oleh pembantu hospital (HA).

Kajian Bernama baru-baru ini mendapati walaupun golongan profesional khususnya di kalangan pengamal perubatan memberikan respons acuh tak acuh kepada klinik itu, namun rakyat memberikan sokongan padu.

Kebimbangan golongan pengamal perubatan itu berdasarkan keputusan kerajaan untuk membenarkan HA memberikan ubat bagi sakit yang ringan, menurut mereka akan menjejaskan doktor swasta dan merisikokan standard penjagaan kesihatan negara.

Namun semua itu tidak menghalang orang ramai daripada berduyun-duyun mengunjungi klinik 1Malaysia untuk mendapatkan rawatan bagi sakit yang ringan seperti demam, batuk dan menjalani pemeriksaan darah dan tahap kandungan gula.

Mengulas mengenai permulaan yang memberangsangkan itu, pengerusi lembaga pemegang amanah Yayasan 1Malaysia, Dr Chandra Muzaffar seperti dipetik dalam laman web yayasan itu, berkata oleh kerana klinik itu memberikan khidmat kepada semua orang tanpa mengira kaum, peranan mereka dapat membantu, secara tidak langsung, untuk memperkukuhkan lagi idea bahawa keperluan semua rakyat Malaysia dijaga secara adil dan saksama.

"Sehingga ke tahap yang memungkinkan, klinik 1Malaysia wajar ditempatkan di kawasan yang dihuni penduduk pelbagai kaum.

Kakitangan paramedik klinik itu juga, jika boleh, daripada latar belakang etnik yang berbeza," katanya.

Katanya oleh kerana klinik 1Malaysia mensasarkan secara langsung persoalan mengenai keadilan sosial dan secara tidak langsung menangani kerumitan cabaran integrasi etnik, tiada sebab kenapa doktor tidak menawarkan diri secara sukaraela untuk terlibat dalam inisiatif berasaskan komuniti itu.

Tidak seperti tanggapan orang ramai, klinik 1Malaysia bukan hanya dikendalikan oleh HA sahaja, kerana Kementerian Kesihatan telah menyenaraikan sekumpulan doktor, untuk memeriksa pesakit yang memerlukan perhatian segera.

Setakat ini, 44 daripada 50 klinik 1Malaysia yang dikenal pasti bagi fasa pertama program itu telah beroperasi.

Selain murah, beberapa faktor lain turut menjadikan klinik 1Malaysia mendapat perhatian orang ramai seperti perkhidmatan yang cepat dan waktu operasi lebih panjang. Ia dibuka tujuh hari seminggu dari 10 pagi hingga 10 malam.

Mempertahankan penubuhan klinik itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Ismail Merican baru-baru ini berkata penubuhan klinik 1Malaysia bukan dibuat secara tergesa-gesa dan ia bukannya langkah yang mundur.

"Saya ingin menjelaskan mengenai klinik 1Malaysia bertujuan memberikan jaminan kepada rakyat Malaysia bahawa dengan penubuhan klinik ini di kawasan bandar, kami berharap untuk memenuhi keperluan rakyat daripada segi kesihatan," katanya.

Pegawai kanan kerajaan itu yang telah mengendalikan beberapa kejadian wabak seperti wabak selesema H1N1 di negara ini, telah terbukti betul kerana golongan yang mendapat faedah daripada klinik berkenaan sebenarnya ialah golongan miskin bandar.

Langkah proaktif itu bagi menangani keperluan kesihatan yang semakin meningkat di kalangan miskin bandar dalam membantu mengurangkan penderitaan mereka yang memerlukan perhatian segera bagi sakit yang ringan.

Beliau berkata para paramedik yang mengendalikan klinik berkenaan merupakan pegawai berpengalaman yang tahu batasan mereka dan berupaya mengesan keadaan klinikal jika perlu segera dirujuk kepada doktor.

Selain itu, doktor akan dipertanggungjawabkan dalam memastikan rawatan yang diberikan oleh paramedik adalah betul dan mengikut garis panduan dan prosedur dan memenuhi standard Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan itu juga menyatakan bidang tugas ketua jururawat dan HA seperti ditetapkan dalam Akta Perubatan 1971 membenarkan mereka menjalankan prosedur surgeri kecil dengan menggunakaan alat surgeri spesifik.

"Peranan mereka di klinik berkenaan adalah dalam skop bidang tugas mereka di hospital dan klinik. Mereka tidak akan diminta melakukan tugas lebih daripada apa yang mereka telah dilatih dan akan mematuhi garis panduan dan jenis perkhidmatan yang boleh ditawarkan pada setiap masa.

"Dengan penubuhan klinik ini, seseorang itu tidak perlu membawa anggota keluarga yang berusia lanjut ke klinik besar atau hospital untuk menukar kateter tiub pundi kencing atau membalut luka akibat kecederaan di rumah, sekolah dan di tempat kerja," katanya.

Katanya kerajaan tidak berniat untuk menjejaskan perniagaan doktor swasta namun pada masa yang sama "kami mencadangkan kerajaan memperkenalkan sistem penjagaan kesihatan bersepadu supaya rakyat boleh mendapatkan rawatan daripada doktor kerajaan dan swasta.

"Kami berharap dapat memperkenalkan konsep "doktor keluarga" dan telah mengambil langkah untuk menggalakkan doktor kami menjadi "pemantau" yang efektif.

Sementara menunggu langkah ini direalisasikan, kami perlu menangani keperluan kesihatan golongan miskin bandar, dan dengan penubuhan klinik 1Malaysia, hanya 50 buah di seluruh negara (tiga atau empat buah di setiap negara) tidak akan menjejaskan pendapatan doktor kami," kata Dr Ismail.

Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia Mohd Yusof Abdul Rahman berpendapat klinik 1Malaysia amat wajar bagi tujuan penjagaan kesihatan golongan miskin bandar.

"Tidak apa jika hanya pembantu perubatan bertugas di klinik ini kerana mereka tidak mengendalikan kes kronik yang memerlukan pakar. Ini hanya bagi masalah kesihatan yang ringan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain