suria

Kes Murugiah Didengar Pada 1 Mac Ini

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menetapkan 1 Mac ini untuk mendengar permohonan Senator Datuk T. Murugiah untuk menguatkuasakan keputusan Tribunal Timbangtara Malaysia (MATE) mengisyitharkan beliau sebagai presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) yang sah.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Diana Md Razali menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar sebutan kes itu hari ini.

Pendaftar Pertubuhan (ROS) memohon mahkamah supaya mengenepikan keputusan MATE pada 11 Disember 2009 bahawa Murugiah iaitu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, merupakan presiden PPP yang sah.

ROS memfailkan permohonan itu pada 24 Disember 2009 dan menamakan MATE, presidennya Datuk Munsyi Muslim Yacob, selaku penimbang tara yang membuat keputusan itu, Prof Madya Datuk Abdul Halim Sidek dan Murugiah sebagai responden.

Pada 28 Disember 2009, Murugiah memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk menguatkuasakan keputusan MATE itu. MATE, Munsyi dan Abdul Halim diwakili oleh peguam Khairil Khamis manakala peguam Sreekant Pillai dan Vishnu Kumar mewakili Murugiah.

Peguam Kanan Persekutuan Nadia Hanim Mohd Tajuddin bertindak bagi pihak ROS. Berikutan keputusan MATE itu, Murugiah pada 30 Disember 2009 menarik balik samannya terhadap ROS atas tindakan badan itu memutuskan pemecatannya oleh PPP adalah sah.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin membatalkan saman Murugiah terhadap ROS selepas timbalan menteri itu memfailkan notis untuk tidak meneruskan saman itu.

Pada 4 Disember 2009, Murugiah memperoleh kebenaran untuk mencabar perintah ROS itu bahawa mesyuarat agung luar biasa yang melantiknya sebagai presiden PPP adalah tidak sah selepas kebenaranya untuk semakan penghakiman diberikan oleh Alizatul.

Dalam permohonan itu, Murugiah menamakan ROS sebagai responden dan menuntut perintah 'certiorari' untuk membatalkan keputusan ROS bertarikh 26 Ogos.

Murugiah dipecat pada Mei 2009 selepas beliau didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Timbalan Menteri untuk mengadakan sidang akhbar yang telah mencemarkan imej dan nama baik parti dan mengeluarkan kenyataan memfitnah terhadap parti, majlis tertinggi dan pucuk pimpinannya.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain