suria

Kerajaan Pandang Serius Perbuatan Bakar Tempat Ibadat - Rais

KUALA KLAWANG: Kerajaan memandang serius perbuatan khianat pihak tidak bertanggungjawab membakar atau merosakkan tempat ibadat dan tindakan tegas perlu diambil terhadap mereka bagi membendung perkara itu daripada berlaku.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata perbuatan sedemikian tidak boleh dibiarkan kerana ia akan menjuruskan kepada persekitaran yang kucar-kacir.

"Sekiranya surau, masjid mahupun gereja, kuil dan tokong dimusnahkan secara berterusan berpunca daripada perbuatan khianat segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab, ia secara tidak langsung akan menjejaskan kredibiliti sistem perundangan negara," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Rais yang juga anggota Parlimen Jelebu berkata demikian selepas majlis taklimat pindaan perlembagaan Umno yang disampaikan oleh Setiausaha Kerja Umno pusat Datuk Ab Rauf Yusoh kepada anggota jawatankuasa Umno Bahagian Jelebu di Dewan Budaya, Simpang Pertang, dekat sini.

Beliau mengulas kejadian dua buah surau di Muar, Johor yang mengalami kebakaran kecil awal pagi ini dipercayai akibat perbuatan khianat.

Sehubungan itu, Rais meminta Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein agar terus bersikap tegas dalam menangani masalah ini.

"Perbuatan khianat ke atas tempat ibadat ini merupakan satu kancah sosial yang tidak seharusnya diteruskan oleh masyarakat di negara ini yang secara jelas akan memecah-belahkan perpaduan," katanya.

Di KUALA LUMPUR, Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) Khairy Jamaluddin berharap rakyat bertenang dan tidak terbawa-bawa dengan emosi atau menyumbang kepada spekulasi serta khabar angin, dan memberi kepercayaan kepada pihak polis menjalankan siasatan.

"Cukuplah dengan segala pembakaran, pemusnahan dan vandalisme ke atas rumah ibadat. Sudah tiba masanya kemelut ini, serta punca-puncanya, diselesaikan demi keselamatan dan keamanan negara," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain