suria

Dua Sekolah Rendah Di Kinabatangan Masih Ditutup Akibat Banjir

KINABATANGAN: Dua sekolah rendah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Permai dan SK Balat masih ditutup hari ini berikutan bangunan sekolah berkenaan ditenggelami air banjir.

Pengerusi Pusat Kawalan Operasi Banjir(PKOB) Arisin Arifin berkata sekolah tersebut akan ditutup sehingga keadaan banjir pulih dan sebagai faktor keselamatan kepada pelajar di sekolah itu.

Katanya dua buah sekolah rendah iaitu SK Bukit Garam dan SK Sangau digunakan sebagai pusat pemindahan mangsa banjir tetapi sesi persekolahan masih diteruskan.

"Hanya beberapa kelas digunakan bagi menempatkan mangsa banjir tetapi tidak menjejaskan sesi persekolahan," katanya di sini hari ini.

Arisin berkata jumlah mangsa banjir meningkat hari ini kepada 2,763 orang membabitkan 575 keluarga dari 10 kampung. Katanya bacaan paras air Sungai Kinabatangan pada pukul 2 petang ini semakin meningkat kepada 11.53 meter iaitu pada paras bahaya.

Sementara itu di Tongod, Pengerusi PKOB Tongod Daudi Goroh berkata gerakan mencari Manaf Ansaroh, berusia lingkungan 40-an, yang hilang selepas perahu dinaiki terbalik akibat arus deras ketika menyeberangi sungai di Kampung Soguon di Tongod Sabtu lepas masih diteruskan.

Katanya pasukan pencari terdiri anggota bomba dan penyelamat, polis dengan bantuan penduduk kampung menumpukan pencarian di kawasan sepanjang kira-kira 20 km dari Kampung Tempasak sehingga Kampung Kuala Tongod. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain