suria

Wakil Kementerian Pertahanan Beri Keterangan Isu Enjin Jet F-SE - PAC

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC)hari ini memanggil wakil Kementerian Pertahanan untuk memberi penjelasan berhubung kes kehilangan dua enjin jet pejuang F-5E milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Antara yang dilihat hadir pada mesyuarat pertama PAC mengenai isu enjin jet itu bagi mewakili Kementerian Pertahanan ialah Ketua Setiausaha Datuk Seri Abu Bakar Abdullah dan Panglima TUDM Jeneral Datuk Seri Rodzali Daud.

"Hari ini kita bermula dengan sesi penerangan mengenai prosedur-prosedurnya sahaja," kata Pengerusi PAC Datuk Seri Azmi Khalid kepada pemberita selepas mesyuarat itu yang berlangsung di bangunan Parlimen, di sini.

Azmi berkata siasatan berhubung kes kehilangan enjin jet itu dijangka selesai sebelum Mac ini bagi membolehkan laporan siasatan itu dibentangkan di Parlimen yang akan bersidang pada pertengahan Mac.

Media sebelum ini melaporkan kehilangan enjin jet pejuang F-5E TUDM yang bernilai RM303,570 berdasarkan kontrak jual beli pada 1972. Enjin berkenaan dikatakan dijual kepada sebuah syarikat antarabangsa luar negara.

TUDM mula mengoperasikan pesawat F-5E itu pada 1974, dan pada 1999 perkhidmatan pesawat itu ditamatkan dengan tugas sebagai pesawat tempur barisan hadapan diambil alih oleh pesawat MiG-29N dan F/A-18D.

Bagaimanapun, pada 2003 pesawat itu diaktifkan semula sebagai pesawat latihan dan tinjauan bagi menampung keperluan semasa.

Awal bulan ini, seorang anggota tentera udara berpangkat sarjan dan seorang ahli perniagaan yang juga pengarah syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya berhubung kehilangan dua enjin pesawat itu. Azmi berkata mesyuarat itu akan disambung 26 Januari ini.

Beliau menjelaskan mesyuarat hari ini terpaksa ditangguhkan selepas dua jam 15 minit berlangsung kerana anggota mesyuarat tidak selesa dengan bau bahan penanggal cat yang digunakan untuk kerja penyelenggaraan di Bangunan Parlimen yang terlalu kuat kerana telah meresap ke dalam pendingin hawa.

"Ini amat tidak sihat...sebab itu kita putuskan untuk tangguhkan mesyuarat ini ke 26 Januari," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain