suria

Surat Sokongan Tanpa Permintaan Suapan Tidak Salah - SPRM

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menjelaskan pengeluaran sesuatu surat sokongan yang dibuat dengan niat suci tanpa sebarang tawaran atau permintaan suapan rasuah, tidak menjadi satu kesalahan.

Bagaimanapun, pengeluaran surat sokongan akan menjadi suatu kesalahan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 sekiranya terdapat elemen-elemen rasuah seperti surat sokongan yang dikeluarkan kepada individu atau syarikat di mana dirinya sendiri, saudara atau sekutunya mempunyai kepentingan.

"Ia juga menjadi satu kesalahan sekiranya seseorang yang terpaksa membayar apa-apa suapan rasuah bagi pengeluaran surat sokongan tersebut dan seseorang atau saudara atau sekutu berkenaan dijanjikan atau ditawarkan apa-apa suapan rasuah sekiranya sesuatu projek berjaya hasil daripada surat sokongan tersebut," demikian menurut kenyataan SPRM dalam laman webnya hari ini.

SPRM berkata dengan penjelasan itu masyarakat diharap lebih jelas berhubung perkara itu supaya tidak timbul sebarang salah faham atau kekeliruan dalam hal tersebut.

Semalam, Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu berkata surat sokongan yang dikeluarkan oleh anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) atau Anggota Dewan Undangan Negeri kepada orang ramai tidak ditafsirkan sebagai rasuah.

Beliau berkata SPRM tidak menyenaraikannya sebagai sebahagian daripada amalan rasuah kerana ia tidak mempunyai sebarang kepentingan peribadi kepada pengeluar surat berkenaan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain