suria

Sambutan Rasmi Untuk Najib Di Istana Presiden India

NEW DELHI: Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini diberi sambutan rasmi di Rashtrapati Bhavan (Istana Presiden) sempena lawatan rasmi beliau selama empat hari ke India.

Dalam keadaan cuaca yang sejuk dan berkabus, ketibaan Perdana Menteri dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, disambut Perdana Menteri India Manmohan Singh dan isteri Gurshana Kaur.

Selepas lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan, Najib memeriksa satu kawalan kehormat.

Sebagai satu amalan tradisi pada upacara sambutan itu apabila seseorang pemimpin asing ditanya satu soalan oleh seorang wartawan tempatan, Najib ditanya mengenai harapan beliau daripada lawatannya itu.

Dalam jawapannya, Perdana Menteri berkata beliau ingin mengukuhkan lagi hubungan dua hala.

"Lawatan saya ini menunjukkan betapa pentingnnya hubungan Malaysia dengan India. India adalah satu rakan strategik," katanya. Menteri Luar India S.M. Krishna kemudiannya mengunjungi Najib di hotel tempat beliau menginap.

Krishna berkata lawatan Najib yang dilakukan tidak sampai setahun beliau menjadi Perdana Menteri adalah bukti kesungguhan Malaysia untuk menjalin hubungan yang erat antara kedua-dua negara.

"Bagi India, kita juga berpendirian serupa memandangkan terdapat banyak persamaan antara kedua-dua negara," katanya.

Krishna berkata perbincangan lebih mendalam mengenai isu-isu dua hala, serantau dan antarabangsa akan turut diadakan sempena lawatan itu.

Najib juga melawat Memorial Mahatma Gandhi untuk istiadat meletak kalungan bunga, dan kemudiannya mengunjungi Presiden Pratibha Patil di Rashtrapati Bhavan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain