suria

Polis Sarawak Rampas Dadah Bernilai RM200,000 Dalam Tiga Minggu Pertama Tahun Ini

KUCHING: Dalam tempoh tiga minggu pertama tahun ini polis telah menahan lapan orang termasuk tiga wanita kerana memiliki dan mengedar dadah dianggar bernilai RM200,000 dalam beberapa serbuan di Kuching, Samarahan dan Miri, kata Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Hamza Taib.

"Rampasan dadah terbesar berlaku pada Isnin lepas pada pukul 1.15 petang di Batu 4, di sini, apabila polis merampas dua bungkusan yang mengandungi ketamine seberat 1016.82 gram dengan nilai rampasan sebanyak RM101,700.

"Seorang pekerja buruh lelaki berumur 20an telah ditahan membantu siasatan," katanya dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.

Rampasan kedua terbesar ialah pada 16 Januari, juga di Batu 4, melibatkan rampasan tujuh paket syabu seberat 58.24 gram bernilai RM26,208 dan penahanan dua suspek iaitu seorang wanita warga Indonesia berumur 20an dan seorang pemandu teksi lelaki berumur 40an, katanya.

Turut dirampas ialah wang tunai RM1,250 dan sebuah kereta Perodua Kenari dengan bernilai RM20,000. Hamza berkata rampasan dadah ketiga terbesar ialah di Samarahan pada 15 Januari melibatkan pelbagai jenis dadah seperti pil Erimin 5, ecstasy, ganja dan syabu seberat 101.61 gram bernilai RM25,420.

Polis menahan seorang lelaki berumur 30an selain menyita sebuah kereta Honda Civic, dua utas rantai emas, tiga unit komputer dan sebuah televisyen LCD.

Dalam operasi di Miri, juga pada 15 Januari, polis merampas empat bungkusan dadah jenis syabu seberat 106.39 gram bernilai RM25,000 dan menahan tiga suspek terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita berumur antara 28 dan 32 tahun.

Beliau berkata polis sebelum itu juga menahan seorang lelaki berusia 20an di Kuching dan merampas 420 pil Erimin 5 seberat 108 gram bernilai RM2,420.

Kesemua suspek dalam kes-kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung mandatori. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain