Perbicaraan Kes Liwat Anwar Ditunda 2 Februari Depan - Semasa | mStar

Perbicaraan Kes Liwat Anwar Ditunda 2 Februari Depan

PUTRAJAYA: Perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang sepatutnya diadakan pada 25 Januari, ditunda kepada 2 Februari sementara menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung rayuannya untuk mendapatkan dokumen berkaitan.

Hakim Besar Malaya Tan Sri Arifin Zakaria, yang bersidang bersama hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Md Raus Sharif serta Datuk Abdull Hamid Embong, hari ini gagal mencapai keputusan tentang rayuan Anwar itu dan menangguhkan keputusan mereka kepada 29 Januari.

Pada perbicaraan hari ini, panel hakim itu menangguhkan perbicaraan selama lebih kurang 40 minit untuk berbincang, selepas mendengar hujah peguam Karpal Singh yang mewakili Anwar dan Peguam Cara Negara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden.

Apabila perbicaraan disambung semula, Arifin memaklumkan kepada pihak terbabit bahawa mereka tidak dapat membuat keputusan hari ini dan memerlukan seminggu untuk berbuat demikian.

Beliau berkata perbicaraan kes liwat itu boleh diteruskan pada 2 Februari selepas mereka memberi penghakiman.

Anwar, 63, dituduh meliwat bekas pembantu beliau Mohd Saiful Bukhari Azlan, 24, di sebuah kondominium di Bukit Damansara, Kuala Lumpur pada 26 Jun 2008.

Beliau merayu kepada Mahkamah Persekutuan supaya mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memberinya kebenaran untuk mendapatkan dokumen berkenaan sebagai persiapan untuk membela diri pada perbicaraan kes itu.

Sebelum ini, Mahkamah Rayuan meluluskan rayuan pihak pendakwaan dan menyekat Anwar daripada memperoleh dokumen berkenaan.

Anwar meminta mahkamah memerintahkan pihak pendakwaan membekalkan, antara lain, rekod kenyataan saksi bagi pihak pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan iaitu Dr Osman Abdul Hamid dari Hospital Pusrawi dan pemilik kondominium Hassanuddin Abdul Hamid, kenyataan tiga doktor dari Hospital Kuala Lumpur dan nota ahli kimia serta laporan perubatan.

Mahkamah Tinggi membenarkan beliau mendapatkan semua dokumen tersebut, kecuali sampel DNA daripada Mohd Saiful.

Karpal Singh mengemukakan bantahan awal hari ini dengan berkata keputusan Mahkamah Tinggi tidak boleh dirayu kerana ia hanya satu keputusan dalam perbicaraan, yang tidak menolak hak mana-mana pihak yang terlibat dalam kes berkenaan.

Oleh itu, kata beliau, rayuan pihak pendakwaan dan rayuan balas Anwar sepatutnya tidak perlu dibuat kerana keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi, tidak boleh dirayu.

Beliau berkata Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan tidak sepatutnya mencampuri kuasa budi bicara hakim Mahkamah Tinggi yang memberi kebenaran kepada Anwar mendapatkan dokumen berkenaan.

Katanya Anwar hanya mahukan salinan dokumen berkaitan, bukan naskhah asal.

Dalam hujahnya pula, Yusof berkata keputusan Mahkamah Tinggi boleh dirayu kerana ia merupakan suatu perintah, bukan keputusan.

Kata beliau sesuatu perintah yaang dibuat oleh mahkamah mengikut Seksyen 51 Kanun Acara Jenayah berkaitan pemerolehan dokumen, dianggap sebagai satu perintah muktamad.

Sejajar dengan itu, beliau meminta Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan.

Anwar tidak hadir di mahkamah hari ini. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Penerima sulung Anugerah Ikon Pesara sebak imbau saat bersama kanak-kanak disleksia – “Persaraan berbaloi... ada jadi pilot, arkitek dan peguam”

KARNIVAL Rasa Sayang (KRS) 2019 anjuran KWAP membuka mata bakal pesara dan pesara untuk bergiat aktif selepas persaraan.

default image

Tingkatkan kemahiran, produktiviti untuk lonjakkan status ekonomi Harimau Asia

DALAM usaha untuk melonjakkan status sebagai ekonomi Harimau Asia, Malaysia berusaha untuk mengukuhkan ekonomi dan status fiskal menjelang 2021.

default image

Jom bantu bayar balik pinjaman PTPTN pekerja! Pelepasan cukai antara 7 kelebihan untuk dinikmati majikan

HUBUNGAN majikan dan pekerja ibarat irama dan lagu, kedua-duanya saling memerlukan antara satu sama lain demi kelangsungan operasi syarikat.

default image

15 prinsip tulang belakang untuk capai matlamat WKB2030

LIMA belas prinsip panduan digariskan berasaskan tiga aspek penting iaitu pembangunan untuk semua, menangani jurang kekayaan dan pendapatan serta negara bersatu, makmur dan bermaruah.

default image

Carum Perkeso untuk dilindungi walau bekerja sendiri kerana malang tidak berbau!

MATLAMAT utama mengumpul duit dan trip perjalanan, tapi adakah pemandu pengangkutan awam menyedari ‘malang tidak berbau’ ketika bekerja?