suria

Pembebasan Bekas KSU Kementerian Kemajuan Luar Bandar Dikekalkan

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang membebaskan dan melepaskan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar Datuk Dr Abdul Aziz Muhammad daripada pertuduhan bersubahat dalam kes pecah amanah dan menipu.

Panel hakim terdiri daripada Datuk Suriyadi Halim Omar, Datuk Hasan Lah dan Datuk Ahmad Maarop sebulat suara menolak rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan itu.

Aziz, 65, kini seorang ahli perniagaan, pada awalnya disabitkan dan dikenakan hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen pada 2005 bagi kesalahan bersubahat dengan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Tengah Terengganu (Ketengah) Datuk Alwi Said melakukan pecah amanah RM2 juta milik Ketengah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kompleks Kewangan di Jalan Raja Chulan antara 27 April dan 31 Julai, 1999.

Dia juga dihukum penjara lima tahun bagi pertuduhan menipu Menteri Kewangan Kedua pada ketika itu, Datuk Mustapa Mohamed, melalui pegawai Kementerian Kewangan, untuk mempercayai bahawa pelaburan Ketengah sebanyak RM9 juta dalam projek tanaman orkid, ternakan ikan dan rekreasi di Tasik Puteri, Bukit Besi, Dungun, berjalan lancar.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kementerian Kewangan di Jalan Duta, Kuala Lumpur, antara 24 Jun dan 9 Ogos, 1999.

Mahkamah Sesyen memerintahkan hukuman itu dilaksanakan serentak tetapi Mahkamah Tinggi pada 16 Nov, 2008 membebaskan dan melepaskannya selepas membenarkan rayuannya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain