suria

Najib Tiba Di New Delhi Untuk Lawatan Lima Hari

NEW DELHI: Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di sini pada Selasa untuk memulakan lawatan rasmi lima hari ke India, di mana beliau dijadual mengadakan rundingan untuk meningkatkan perkongsian strategik dengan negara ekonomi ketiga terbesar Asia itu.

Semasa lawatan rasmi beliau yang pertama ke India ini selepas mengambil alih jawatan Perdana Menteri April lepas, Najib akan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya dari India Dr Manmohan Singh untuk membincangkan pelbagai bidang termasuk perdagangan dan keselamatan.

Dalam musim sejuk pada lewat petang, ketiban Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor dan anggota delegasi disambut dengan hamparan permaidani merah yang melambangkan pentingnya "sahabat lama" di rantau ini.

Jet khas yang membawa Najib dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor serta dengan anggota delegasi lain mendarat di Stesen Pasukan Tentera Udara Palam di sini pada kira-kira pukul 7 malam, waktu tempatan.

Beliau disambut di stesen itu oleh Menteri Negara bagi Kereta Api India, E. Ahmed dan bakal Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, Vijay Gokhale.

Pada Rabu, Najib akan melawat "Rajghat" (Memorial Mahatma Gandhi) untuk meletakkan kalungan bunga dan diikuti pertemuan dengan Menteri Hal Ehwal Luar India, S.M. Krishna.

Beliau kemudian akan mengunjungi Presiden India Pratibha Patil di Rashtrapati Bhavan (Istana Presiden) di ibu negara ini.

Acara utama beliau ialah menyampaikan ucaptama pada Forum Perniagaan Malaysia-India yang dianjurkan Gabungan Dewan Perusahaan, Konfederasi Industri India dan Persekutuan Dewan Perusahaan dan Perindustrian India.

Najib juga akan mengunjungi naib presiden India Hamid Ansari dan mengunjungi pemimpin parti kongres Sonia Gandhi.

Pertemuan Najib dengan Manmohan Singh di Hyderabad House di mana kerajaan India akan menjadi tuan rumah pada majlis makan malam merupakan kemuncak lawatan Perdana Menteri ke sini.

Antara anggota delegasi Najib ialah Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Perdagangan dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen dan Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam.

Anggota lain, Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Najib sebelum ke India juga melakukan lawatan rasmi pertamanya ke Arab Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE). - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain