suria

Malaysia Perlu Terus Hulur Bantuan - Dr Mahathir

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia perlu terus menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan kerana ia baik bagi imej negara ini.

Mantan Perdana Menteri berkata komitmen bagi membantu mereka yang kurang bernasib baik di Gaza baru-baru ini dan di tempat-tempat lain seperti Bosnia dan Acheh, menunjukkan bahawa rakyat Malaysia lebih berperi kemanusiaan daripada orang lain yang suka bercakap banyak mengenai hak asasi manusia.

"Kita tak pasti, mungkin (akan berlaku) tsunami yang lebih hebat ataupun bangunan runtuh. Kita tidak boleh fikir bahawa kita akan selamat daripadanya (bencana).

"(Jadi) apabila orang lain dalam kesusahan, kita bersedia berusaha untuk membantu mereka. Saya fikir adalah baik demi imej Malaysia. Saya tak peduli apa negara berkuasa atau kaya fikir tentang kita...saya tidak pernah pedulikan mereka," katanya.

"Tapi saya ambil berat tentang orang lain yang berada dalam kesusahan, bagaimana mereka fikir bahawa kita sentiasa bersedia untuk membantu orang yang di dalam kesusahan," katanya dalam ucapan penghargaan ke atas sembilan rakyat yang merupakan sebahagian daripada sejumlah besar konvoi bantuan kemanusiaan Viva Palestina, di sini hari ini.

Empat anggota Perdana Global Peace Organisation, empat anggota krew Bernama TV dan seorang wakil Yayasan Al Bukhari menyertai 450 anggota konvoi dan mereka tiba di tanah air dengan selamat minggu lepas.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi pertubuhan itu berkata ia merupakan satu pencapaian hebat bagi kumpulan rakyat Malaysia untuk menamatkan misi itu kerana tidak banyak negara yang mengambil bahagian dalam bantuan kemanusiaan itu.

"Ini kerana mereka mendapat sokongan kerajaan. Walaupun ini merupakan usaha NGO, ia masih mendapat sokongan kerajaan," katanya.

Dr Mahathir berharap agar kerjasama antara NGO dan kerajaan diteruskan terutama berhubung dengan masalah rakyat Palestin dan Gaza.

"Kita hidup selesa di sini, makan 24 jam sehari, tidak memahami apa makna terpaksa berlapar, tidak memahami apa makna ketakutan.

"Kita kadang kala lupa bahawa ramai lagi orang di dunia ini yang tidak bernasib baik seperti kita dan kerana itu kita patut hargai kedudukan kita dan dalam menghargai kedudukan kita, kita juga harus membantu orang lain bagi mengurangkan bebanan mereka," katanya.

Dr Mahathir juga berharap agar rakyat Malaysia sentiasa bersedia untuk menyalurkan bantuan bagi membantu orang lain yang memerlukan, pada masa depan.

"..jika ada sebarang keperluan yang memerlukan sukarelawan, akan sentiasa ada rakyat Malaysia yang sedia menyumbang tenaga secara sukarela," katanya.

Konvoi bantuan kemanusiaan Viva Palestina yang memulakan perjalanan yang jauh dari London pada 6 Disember tahun lepas, merentas sempadan Rafah untuk ke Gaza, pada 7 Januari.

Kira-kira 150 daripada keseluruhan 220 kenderaan, sarat dengan bantuan kemanusiaan, kini sampai ke tangan rakyat Palestin di Gaza yang berada dalam kepungan rejim Tel Aviv.

Israel mengepung Semenanjung Gaza selepas rejim Hamas mengambil alih kawalan di wilayah itu pada Jun 2007. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain