suria

Majlis Perundingan Agama Elak Penglibatan Golongan Ekstrem - Tun M

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata penubuhan majlis perundingan agama dapat mengelakkan campur tangan golongan ekstrem dan tidak bertanggungjawab terlibat dalam isu-isu sensitif termasuk yang terbaru - penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, majlis perundingan agama merupakan platform terbaik baik bagi mengadakan perbincangan dan mencari persefahaman berkaitan pelbagai isu yang berkaitan.

"Saya fikir isu-isu yang sensitif tidak sepatutnya dibincangkan secara umum kerana selalunya akan ada golongan ekstrem dan tidak bertanggungjawab akan turut serta hingga mencetuskan pertengkaran," katanya dalam sidang media selepas menyampaikan ucaptama pada majlis pembukaan Persidangan Am Bagi Menyokong Al Quds di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan banyak pihak agar satu majlis perundingan agama ditubuhkan bagi membolehkan wakil agama berbincang dan mencari kesefahaman berhubung pelbagai isu pada masa depan.

Selain itu, Dr Mahathir juga berkata, melalui penubuhan majlis berkenaan perbincangan isu-isu sensitif dapat dikawal hanya dikalangan anggotanya.

"Majlis perundingan agama adalah tempat yang sangat baik kerana perbincangannya dapat dikawal dan tertutup tanpa membawanya ke jalanan," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain