suria

Loji Kumbahan Disedut Dapatkan Semula Pistol Polis

KUALA LUMPUR: Loji Kumbahan Indah Water Taman Koperasi Polis, Sentul di sini terpaksa disedut polis bagi mendapatkan semula sepucuk pistol jenis 38 milik seorang anggota polis.

Difahamkan, pistol itu dicampakkan oleh seorang penjenayah yang merampas senjata api itu daripada anggota polis terbabit dalam satu kejadian pergelutan kira-kira 5 petang semalam.

Polis kemudian terpaksa memulakan operasi mencari senjata api itu dengan menyedut air kumbahan bagi mendapatkan semula pistol berkenaan.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini, mengesahkan pistol itu berjaya ditemui kira-kira pukul 11.30 pagi ini.

Terdahulu, anggota peronda polis menahan seorang suspek yang dilihat dalam keadaan mencurigakan di KM 3.4 Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang.

Namun, suspek itu merampas pistol tersebut sebelum melarikan diri dipercayai menaiki sebuah motosikal dan mencampakkan senjata api itu ke dalam loji berkenaan.Suspek kemudian berjaya ditahan sejurus selepas itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain