suria

Lelaki Singapura Ditemui Mati Duduk Atas Mangkuk Tandas

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warganegara Singapura ditemui mati dalam keadaan duduk dan kaki bersilang di atas mangkuk tandas dalam sebuah bilik mandi di sebuah hotel bajet di Jalan Sultan, di sini hari ini.

Lelaki berusia 48 tahun itu dipercayai mati lemas akibat asap yang terkepung dalam bilik mandi itu berikutan pembakaran beberapa ketul arang.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zulkarnain Abdul Rahman berkata polis menerima maklumat daripada seorang tukang cuci hotel yang membuat laporan polis selepas terhidu bau busuk dari bilik berkenaan kira-kira 12 tengah hari tadi.

"Polis terpaksa memecahkan pintu tandas dalam bilik lelaki terbabit yang dikunci dari dalam. Ketika ditemui, lelaki itu berada dalam posisi duduk di atas mangkuk tandas dan sudah tidak bernyawa," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya beberapa ketul arang yang terbakar turut ditemui di tempat kejadian dan udara tidak dapat keluar kerana tingkap tandas itu tertutup.

Polis buat masa ini mengklasifikasikan kematian lelaki itu sebagai mati mengejut dan mangsa dipercayai telah meninggal dalam tempoh 48 jam.

"Kita masih menyiasat punca sebenar dan tempoh kematian mangsa. Mayat telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat," katanya.

Zulkarnain berkata mangsa dipercayai datang berseorangan ke negara ini untuk melancong pada 16 Januari lepas.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain