suria

Lelaki OKU Mati Ditetak

IPOH: Seorang lelaki yang lumpuh separuh badan dan hidup bersendirian di sebuah tokong tinggal di kawasan setinggan Kampung Datuk Ahmad Said Tambahan 2, Jelapang dekat sini sejak sebulan lalu, hari ini ditemui mati dengan kesan tetakan di kepala, leher dan tangan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Azisman Alias berkata S.Kanavathy, 53, yang lumpuh separuh badan ditemui mati dalam keadaan terduduk di atas kerusi di dalam tokong berkenaan pada kira-kira pukul 2.45 petang.

"Polis masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti motif kejadian. Kita sedang mengumpulkan maklumat termasuk menghantar bantuan anjing pengesan bagi mendapatkan sebarang bukti.

"Kita tidak menolak kejadian mungkin berunsurkan jenayah. Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Sementara itu, abang mangsa, S.Sannumugam, 60, berkata beliau menemui mangsa kali terakhir minggu lalu selepas memberikan RM100 untuk kos rawatan klinik.

"Adik saya meminta RM100 untuk mendapatkan rawatan suntikan kerana dia mengadu sakit pinggang. Selepas mendapatkan wang itu, mangsa terus pulang ke rumah dan saya tidak tahu perkembangannya sehinggalah hari ini (semalam) saya mendapat berita kematian adik saya.

"Sebelum ini, Kanavathy tinggal bersama saya disebabkan kesukaran untuk menguruskan diri kerana kecacatan yang dialaminya akibat kemalangan 15 tahun lalu.

"Namun, sejak lebih sebulan lalu dia berpindah ke tokong tinggal itu kerana lebih gemar bersendirian," katanya ketika ditemui di tempat kejadian. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain