suria

Kabinet Sokong Bantu Pengusaha Restoran Tempatan Di Luar Negara

KUALA LUMPUR: Mesyuarat kabinet hari ini menyokong usaha kerajaan untuk membantu rakyat tempatan yang membuka restoran di luar negara, terutama di United Kingdom, mendapat bantuan kewangan dalam memperluaskan dan mempertingkatkan perkhidmatan mereka.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata malah mesyuarat itu bersetuju supaya pihak bank dapat membantu dari segi pemberian pinjaman kewangan.

"Seperti yang dijuruskan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya usaha untuk mewujudkan restoran Malaysia di seberang laut mendapat sokongan semua pihak terutama pihak-pihak bank yang betanggungjawab untuk memberi kredit atau pinjaman bagi kebajikan pembukaan restoran Malaysia yang berada di sana khususnya di Britain," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pasca kabinet di Angkasapuri di sini.

Rais berkata Muhyiddin dalam lawatannya ke Britain mendapati perkembangan restoran Malaysia di negara berkenaan sangat menggalakkan tetapi kemudahan, terutama kemudahan kewangan, yang diberikan kepada pengusaha restoran terbabit tidak seberapa.

"Jadi beberapa bank telah disebut namanya, dan pihak-pihak ini akan dihubungi dalam tempoh terdekat untuk meningkatkan prestasi dan kemudahan-kemudahan seperti yang disebutkan," katanya.

Sebelum ini, Perbadanan Perbangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) memperuntukkan 2.0 juta pound sepanjang 2010 bagi melaksanakan kempen perhubungan awam pemasaran di London bagi mempromosikan makanan Malaysia, melalui kempen "Malaysia Kitchen" yang bermatlamat mempromosikan restoran Malaysia di negara itu.

Pada masa ini terdapat 62 restoran Malaysia di United Kingdom dengan 38 daripadanya beroperasi di kota London.

Kempen itu bukan sahaja diharapkan dapat meningkat peminat makanan Malaysia, tetapi juga bilangan pelancong yang melawat ke Malaysia, serta pengimportan makanan diproses dari Malaysia - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain