suria

Gabem Kedah Cabar Kerajaan Negeri Dedah Keadaan Ekonomi Semasa

ALOR SETAR: Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) Kedah, hari ini mencabar kerajaan negeri supaya mendedahkan kedudukan semasa ekonomi bagi membolehkan rakyat membuat penilaian berhubung kemampuan pakatan pembangkang mentadbir negeri ini.

Pengerusinya, Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail berkata, kerajaan negeri perlu membuktikan dengan fakta yang tepat berhubung jumlah pelaburan asing dan kilang baru yang telah beroperasi di negeri ini.

"Fakta tahun lepas menunjukkan jumlah pelancong ke Kedah merosot sehingga menjejaskan sektor pelancongan. Tunjukkan juga berapa simpanan yang masih ada dalam akaun kerajaan negeri sama ada semakin bertambah atau susut," katanya dalam satu kenyataan akhbar, di sini.

Beliau yang juga Anggota Dewan Undangan kawasan Guar Chempedak mendakwa, komuniti perniagaan sedang resah dan sering terdengar rungutan tentang kelembapan ekonomi Kedah serta kelemahan kerajaan negeri dari segi idea dan pelaksanaan projek ekonomi.

"Kitaran ekonomi semakin perlahan di Kedah, ramai peniaga sudah tidak tahan dengan keadaan sekarang dan ramai yang terpaksa menutup perniagaan akibat tidak tahan menanggung kerugian," katanya.

Dr Ku Abdul Rahman berkata, sekiranya keadaan ekonomi terus malap, negeri ini akan terus mundur dan rakyat akan dihimpit kesusahan kerana tiada peluang pekerjaan serta perniagaan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain