suria

Mayat Seorang Mangsa Lemas Di Tongod Ditemui

SANDAKAN: Mayat salah seorang daripada dua lelaki yang dilaporkan hilang selepas perahu dinaiki mereka terbalik di Sungai Kampung Saguan, Tongod, Sabtu lepas ditemui hari ini.

Pengerusi Pusat Kawalan Operasi Banjir Tongod Daudi Goroh berkata bagaimanapun identiti mangsa belum dikenal pasti.

Penduduk kampung menemui mayat lelaki berkenaan terapung di sungai berhampiran Kampung Imbuan Tongod, katanya ketika dihubungi Bernama.

Dalam kejadian Sabtu lepas itu, dua lelaki dikenali sebagai Manaf Ansaroh dan Jasrin Asil, masing-masing berusia lingkungan 40an dan 20an, hilang selepas perahu yang mereka naiki terbalik akibat arus deras ketika menyeberangi sungai di Kampung Saguan.

Kedua-dua lelaki itu dikatakan cuba menyeberangi sungai tersebut bagi membantu keluarga masing-masing selepas rumah mereka dinaiki air akibat banjir.

Mengulas keadaan banjir di kawasan itu, Daudi yang juga pegawai daerah di situ berkata pada masa ini terdapat 251 orang daripada 44 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan banjir di Dewan Majlis Daerah Tongod membabitkan penduduk dari Kuala Tongod dan Pinangah. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain