suria

Majlis Tribunal Pengguna Sasar Selesaikan Kes Tuntutan Dalam Tempoh 45 Hari

KOTA BHARU: Majlis Tribunal Pengguna mensasarkan kes tuntutan pengguna dapat diselesaikan di Mahkamah Tribunal dalam tempoh 45 hari, mulai tahun ini.

Pengerusinya, Rungit Singh berkata sebelum ini kebanyakan kes tuntutan pengguna hanya dapat didengar dan diselesaikan dalam tempoh tidak kurang daripada 60 hari.

Beliau yang juga Presiden Mahkamah Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) berkata perubahan itu dibuat bagi mengelakkan lambakan kes tertunggak yang boleh menimbulkan masalah kepada pengguna.

"Ia selaras dengan matlamat majlis yang berteraskan konsep "2M 1C" iaitu "mudah, murah dan cepat"," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Bagi mempercepatkan lagi proses penyelesaian kes tuntutan beliau menasihatkan mereka yang membuat menuntut dan yang dikenakan tuntutan supaya melengkapkan borang satu yang disediakan berserta keterangan dan dokumen yang diperlukan.

Rungit berkata, mulai tahun ini juga Mahkamah Tribunal boleh mendengar dan mengendalikan prosiding kes-kes tuntutan pengguna di peringkat daerah bagi mempercepatkan proses penyelesaian kes.

"Misalnya, mulai tahun ini kita mula mengendali kes di Mahkamah Tribunal Pengguna di Pejabat cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi (KPDNKK) di Kuala Krai," katanya.

Rungit berkata, tahap kesedaran pengguna terhadap hak mereka semakin meningkat sejak kebelakangan ini berdasarkan jumlah kes tuntutan yang difailkan kepada TTPM yang menunjukkan peningkatan setiap tahun.

Beliau berkata, sepanjang tahun lepas sebanyak 6,491 kes tuntutan pengguna difailkan di seluruh negara termasuk 566 kes yang belum diselesaikan.

"Perkembangan ini menunjukkan jumlah kes yang dapat diselesaikan sebanyak 87.2 peratus," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Rungit berkata, Mahkamah Tribunal Tuntutan Pengguna cawangan Kelantan memfailkan 201 kes tuntutan pengguna dan 21 kes masih belum dapat diselesaikan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain