suria

Kerajaan Jamin Pembelian PPR Diproses Selepas Kelulusan Bank

KUALA LUMPUR: Penyewa unit rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) masih berpeluang membelinya jika mereka berjaya mendapatkan pinjaman bank, kata Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Menurut beliau, walaupun tawaran asal menyatakan penyewa perlu membelinya dalam masa 30 hari, para penyewa boleh berbuat demikian jika mereka berjaya mendapatkan pembiayaan daripada bank pada bila-bila masa.

"Kerajaan bukan hendak beri dan lepas itu itu tarik balik, jadi soal 30 hari tidak timbul.

"Mesej yang kita hendak sampaikan ialah kalau pihak bank mengambil masa dua atau tiga bulan atau enam bulan sekalipun, kita akan bagi masa kerana kita buat kerjasama dengan bank-bank yang menggunakan kaedah pembiayaan Islam," katanya di sini hari ini.

Kekeliruan timbul berikutan syarat DBKL yang menyatakan tawaran itu akan ditarik balik jika para penyewa tidak mengesahkan pembelian dalam tempoh 14 hari dan membelinya dalam masa 30 hari.

Semalam, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyatakan ia akan mengeluarkan surat tawaran baru kepada penyewa unit PPR yang ingin membeli rumah yang mereka duduki sekarang.

Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak pada 10 Oktober lepas telah membuat pengumuman mengenai persetujuan penjualan ruman-rumah itu yang melibatkan sebanyak 44,146 unit yang terdiri daripada 29,592 perumahan PPR Majlis Tindakan Ekonomi Negara dan 14,584 unit perumahan awam DBKL.

Raja Nong Chik berkata soal tempoh masa yang diberikan tidak timbul kerana rata-rata pembeli yang ditawarkan rumah PPR adalah terdiri daripada mereka yang telah lama menyewa di rumah itu.

"Kalau mereka yang sudah duduk dan lambat mendapatkan pinjaman mereka masih layak tinggal tetapi hanya perlu menyewa, jadi soal nak mempercepatkan pembelian tidak timbul," katanya.

Menurut beliau, adalah tidak benar dakwaan terdapat kesalahan atau kekurangan maklumat di peringkat akar umbi sehingga menyebabkan surat tawaran yang dikeluarkan kepada para pembeli mengelirukan mereka. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain