suria

Karyawan Sastera Galas Amanah Suburkan Nilai-Nilai Luhur, Kata TPM

KUALA LUMPUR: Para karyawan sastera perlu menggalas amanah untuk menyuburkan nilai-nilai luhur yang menjadi tunjang dan sumber kekuatan masyarakat sejak zaman berzaman, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata nilai-nilai luhur seperti kesopanan, kesusilaan, kejujuran, kebertanggungjawaban dan kekeluargaan yang terpancar daripada hasil karya sastera bermutu tinggi akan membentuk pemikiran, nilai dan budaya masyarakat maju yang seimbang.

Katanya sebuah masyarakat maju perlu mempunyai jatidiri dan ketahanan rohani sebagai sumber kekuatan untuk berhadapan dengan pelbagai cabaran getir dalam mendepani era revolusi maklumat yang membawa perubahan kepada pemikiran, nilai, budaya dan landskap sosial masyarakat pasca industri.

"Tidak ada gunanya kita berjaya melahirkan masyarakat yang maju dari segi kebendaan sedangkan jiwa, perasaan dan impian anggota masyarakat lompong serta tidak berdaya, daif nilai kemanusiaan dan miskin kasih sayang terhadap sesama insan dan alam semesta," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian Hadiah Sastera Perdana Malaysia ke-18 di sini malam tadi.

Katanya dalam arus globalisasi sekarang, negara berhadapan dengan hakikat bahawa sempadan nilai dan budaya makin kurang signifikan dalam mentakrif jatidiri dan menjana kekuatan jiwa sesuatu bangsa.

Muhyiddin berkata karyawan sastera juga berperanan dalam membina sebuah negara bangsa melalui pemerkasaan sastera kebangsaan yang mengutamakan nilai-nilai perpaduan, persefahaman dan penyatuan dalam kalangan masyarakat majmuk di samping meraikan kepelbagaian sumber kekuatan dan tunjang kehidupan yang harmoni.

"Dengan adanya komitmen dan usaha bersepadu warga karyawan sastera untuk menzahirkan nilai-nilai luhur ini dalam karya masing-masing, saya percaya sastera kebangsaan akan menjadi wahana penting dalam pembinaan sebuah negara bangsa yang bersatu dan maju," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berharap dengan adanya pengiktirafan seperti ini, ia mampu mengangkat ketokohan penulis dan memberi impak yang positif terhadap industri perbukuan dan pembacaan negara.

"Saya menyarankan agar karya-karya yang bermutu tinggi ini diberikan keutamaan dalam pemilihan teks sastera di sekolah ataupun di pusat-pusat pengajian tinggi.

"Hanya karya sastera yang bermutu tinggi dapat mencabar minda dan mengasah daya intelek serta kreativiti generasi muda kita," katanya.

Menurut beliau, karya-karya sastera yang telah diuji kekuatannya di peringkat kebangsaan perlu dinobatkan di peringkat serantau dan antarabangsa kerana dengan membawa karya-karya berkenaan ke luar negara membolehkan hasil intelek serta kreativiti penulis negara diketengahkan ke dunia sastera global.

Sementara itu, Hadiah Sastera Perdana Malaysia yang diperkenalkan sejak tahun 1971 diadakan bagi menobatkan karya terbaik yang diterbitkan pada tahun 2004, 2005, 2006 dan 2007.

Hadiah yang diumumkan adalah hasil penilaian muktamad terhadap karya sastera yang diterbitkan dalam bentuk buku dan karya eceran (cerpen dan puisi) yang tersiar dalam akhbar, majalah, jurnal dan buku atau karya yang dipentaskan untuk skrip drama.

Setiap karya dibahagikan dalam tiga kategori dengan pemenangnya masing-masing menerima hadiah wang tunai RM10,000 (kategori A), RM1,000 (kategori B) dan RM5,000 (kategori C).

Antara karya dan penulis yang menerima hadiah pada malam ini ialah novel kanak-kanak 'Azrul Wira Anak Laut' (Hassan Omar), novel remaja 'Menikam Kalbu' (Faisal Tehrani), kumpulan puisi Salju Shibuya (Muhammad Salleh) dan kumpulan cerpen 'Mekar Sakura di Mimbar Cinta (Ilham Hamdani). - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain