suria

Harga Gula Tidak Dinaikkan Menjelang Perayaan Tahun Baru Cina

SUBANG JAYA: Harga gula tidak akan dinaikkan menjelang perayaan Tahun Baru Cina, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob.

"Saya ada dengar khbara angin dan spekulasi yang mengatakan harga gula akan naik lagi sebelum Tahun Baru Cina ini. Jadi kepada kaum Cina tak perlu bimbanglah, tak ada kenaikan.

"Kita juga nasihatkan jangan buat spekulasi sebab bila spekulasi banyak dibuat akhirnya lebih banyak gula akan disorok dan itu memberi kesan kepada pengguna," katanya kepada pemberita selepas mengedarkan risalah kepenggunaan sempena Kempen Kurangkan Gula di Plaza Tol Petaling Jaya Selatan.

Pada 1 Jan lepas, harga gula dinaikkan 20 sen menjadi RM1.65 sekilogram di Semenanjung dan RM1.75 di Sabah dan Sarawak.

Ismail Sabri berkata pengguna seharusnya tidak perlu merungut dengan kenaikan harga gula kerana rakyat perlu mengubah cara hidup dengan mengurangkan pengambilan gula sekaligus mengurangkan subsidi gula yang perlu ditanggung oleh kerajaan.

"Sebab itu kita adakan kempen kurangkan gula ini semata-mata mahu mendidik masyarakat supaya mengambil gula secara lebih sihat. Jika perkara ini masih berlaku, kerajaan terpaksa menanggung subsidi gula yang banyak sebagai contoh pada tahun ini sebanyak RM1 bilion," katanya.

Beliau juga menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang masih giat menyorok bekalan gula.

"Kita akan ambil tindakan tegas kerana perbuatan itu menyalahi Akta Kawalan Bekalan dan jika ada pihak yang ditangkap kerana kesalahan terbabit, kita tidak akan teragak-agak untuk menarik balik lesen serta merta seperti ketika krisis gula melanda negara pada bulan Oktober lepas, kami telah membatalkan tujuh lesen pemborong kerana didapati menyorok gula.

"Kita tak akan beri amaran lagi apabila lesen ditarik kerana ini telah dianggap amaran terakhir...tidak ada amaran pertama, amaran kedua, amaran terakhir. Sesiapa yang ditangkap menyorok gula, dengan segera kita akan tarik, tidak ada rayuan dan ini bermakna keputusan ini adalah muktamad," katanya.

Katanya peniaga perseorangan yang didapati menyorok bekalan gula akan didenda maksimum sebanyak RM15,000 manakala pemborong akan didenda maksimum RM250,000. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain