suria

Dua Dihadap Ke Mahkamah Atas Tuduhan Bunuh, Subahat

JOHOR BAHARU: Dua lelaki hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan membunuh dan bersubahat membunuh seorang pengurus syarikat pembinaan serta seorang kontraktor di Nusajaya, dekat sini, Disember lepas. R.Sanderan, 28, dari Senai, dituduh membunuh pengurus syarikat pembinaan, R.Vesvanathan,43, dan kontraktor, M.Saravanan, 39, di Jalan Medini/Tebing Runtuh, Nusajaya, pada kira-kira-kira pukul 3.30 petang, 2 Disember lepas. S.Karthigageson, 28, dari Air Itam, Pulau Pinang, pula dituduh bersubahat dengan Sanderan dan seorang lagi lelaki, K.Palpanavan, 56, untuk membunuh kedua-dua lelaki yang sama, di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Sanderan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman gantung sampai mati manakala Karthigageson didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 302 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan dari kedua-dua mereka yang diwakili peguam G.Subramaniam Nair.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azlina Azamuddin dan Majistret Mohd Fuad Abdul Aziz menetapkan kes itu dipindah ke Mahkamah Tinggi, di sini, pada satu tarikh yang akan ditetapkan.

Sementara itu, di mahkamah yang sama, Sanderan mengaku tidak bersalah atas satu tuduhan khianat yang menyebabkan kerosakan ke atas sebuah kenderaan.

Sanderan didakwa menyebabkan kerosakan menggunakan api ke atas kereta Toyota Corolla Altis 1.6E(A), bernombor pendaftaran PGV 8215, warna emas, milik Toh Wai Min, 30, berasal dari Georgetown, Pulau Pinang.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan semak di KM2, Jalan Gelang Patah ke Lima Kedai, Gelang Patah, pada pukul 3.40 petang, 2 Disember lepas. Jika sabit kesalahan Sanderan yang didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan boleh dihukum maksimum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan juga dilakukan Nor Azlina dan Subramaniam Nair mewakili Sanderan.

Mohd Fuad menetapkan tarikh 8 dan 9 Februari tahun depan untuk perbicaraan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain