suria

Sekolah Tidak Ikut Sepenuhnya Garis Panduan Keselamatan

PULAU PINANG: Pengurusan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (C) Chung Ling di sini tidak mematuhi sepenuhnya garis panduan keselamaan aktiviti ko-kurikulum yang dikeluarkan Jabatan Pelajaran, menurut hasil siasatan awal tragedi perahu naga terbalik yang mengorbankan seorang guru dan lima pelajar sekolah itu.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Ibrahim Mohammad berkata, jabatannya telah mengeluarkan satu garis panduan keselamatan aktiviti ko-kurikulum kepada semua sekolah termasuk mengenakan syarat pengurusan sekolah harus meminta pihak berkuasa membuat pemantauan terhadap langkah-langkah keselamatan pelajar.

"Menurut garis panduan keselamatan yang dikeluarkan, pengurusan sekolah hendaklah memaklumkan kepada pihak keselamatan bagi memastikan aktiviti mereka mendapat pemantauan keselamatan," kata beliau kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, jabatan itu akan menguatkuasakan peraturan iaitu mengenakan syarat kelulusan jabatan terlebih dahulu sebelum sesuatu aktiviti ko-kurikulum luar sekolah boleh diadakan.

Ibrahim berkata, Jabatan Pelajaran tidak menghalang sebarang aktiviti riadah anjuran sekolah asalkan ia tidak menjejaskan pencapaian prestasi akademik.

"Sekolah itu merupakan satu-satunya sekolah yang mempunyai aktiviti sukan air kerana mereka mendakwa mempunyai pelajar yang berkebolehan," kata beliau.

Katanya, jabatannya telah mengambil maklumat daripada pengurusan sekolah dan siasatan akan dijalankan bagi mengenalpasti punca sebenar kejadian.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain