suria

Rumah Sewa Dijadikan Pusat Proses Dadah, Tiga Lelaki Ditahan

KUALA LUMPUR: Polis menahan tiga lelaki yang menjadikan rumah sewa mereka bagi menjalankan operasi memproses dadah jenis ganja dan heroin untuk pasaran sekitar ibu kota, dalam satu serbuan di sebuah apartmen di Vista Angkasa di sini, Sabtu lepas.

Ketika serbuan, ketiga-tiga suspek yang bekerja sebagai penghantar surat, pemandu dan pekerja kantin sedang asyik memotong ganja dan membungkusnya dalam plastik kecil untuk jualan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfield Supt Azri Abd Rahman berkata hasil maklumat orang ramai, polis menemui dua ketulan ganja mampat seberat 1,940 gram dalam operasi itu.

"Turut ditemui sembilan plastik ketulan kecil ganja seberat 100 gram setiap satu dan kesemua rampasan itu bernilai kira-kira RM4,000," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau berkata polis juga turut menemui alat memotong, pisau serta satu peralatan yang digunakan untuk menghisap ganja.

Hasil pemeriksaan awal, katanya, kesemua suspek yang berumur antara 35 hingga 38 tahun itu positif dadah jenis ganja dan seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah berhubung kesalahan dadah.

Dalam kes berasingan, seorang lelaki berumur 41 tahun ditahan setelah cuba melarikan diri daripada polis dalam Ops Tapis di Jalan Berhala di sini, semalam.

Azri berkata lelaki itu telah membuang sesuatu di atas jalan dan apabila diperiksa bungkusan plastik berwarna kuning itu mengandungi dadah jenis heroin.

"Polis menemui dua bungkusan yang setiap satunya mengandungi 10 paket plastik lutsinar yang mengandungi heroin seberat 70gram yang nilainya RM2,000 hingga RM2,500.

Pemeriksaan ke atas lelaki yang bekerja sebagai buruh itu turut menemui satu paket heroin seberat 3.4 gram di dalam poket seluarnya.

"Saringan air kencing mendapati lelaki itu turut positif dadah," katanya.

Azri berkata kesemua mereka kini direman bagi membantu siasatan dan akan didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika bersabit kesalahan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain