suria

Ramai Anggota & Pegawai Polis Terengganu Disiasat Tahun Lepas

KUALA TERENGGANU: Seramai 112 anggota dan pegawai polis yang bertugas di Terengganu disiasat kerana melakukan pelbagai kesalahan tatatertib sepanjang tahun lalu, kata Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Shukri Dahlan.

Beliau berkata, daripada jumlah itu seramai 13 orang merupakan dari kalangan pegawai manakala 99 orang lagi anggota pangkat rendah.

"Dalam hal ini, 22 orang ditahan kerja, lapan digantung kerja sementara menunggu proses siasatan dilengkapkan manakala 30 anggota berpangkat rendah didapati bersalah dan disabitkan hukuman," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, antara kesalahan yang dilakukan oleh anggota polis berkenaan termasuklah ponteng kerja, penyalahgunaan dadah dan perkara-perkara lain yang boleh merosakkan nama baik polis.

Mohd Shukri bagaimanapun berkata, kadar jenayah di Terengganu tahun lepas menurun dengan kadar jenayah indeks mencatatkan 5,319 kes berbanding 5,995 kes pada tahun 2008.

Pada masa sama, sejumlah 2,890 kes daripada 5,319 kes yang dilaporkan berjaya diselesaikan.

Katanya, Jabatan Jenayah Komersial telah menyiasat 737 kes penipuan, pecah amanah, pemalsuan wang dan 378 daripada kes itu berjaya diselesaikan pada tahun lepas.

Mengenai pembangunan prasarana, Mohd Shukri berkata, kontinjen Terengganu diperuntukkan RM8.5 juta untuk kerja-kerja pembaikan bangunan balai, rumah kelamin dan pagar keselamatan sepanjang tahun lepas.

Beliau berharap projek pembangunan semula ibu pejabat kontinjen Terengganu yang tertangguh sekian lama melibatkaan kos RM110 juta dapat dilaksanakan di bawah RMK-10.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain