suria

Pengurus Syarikat DiDakwa Bunuh Isteri

KUALA LUMPUR: Seorang pengurus syarikat swasta hari ini didakwa di Mahkamah Majistet Ampang di sini atas tuduhan membunuh isterinya akhir tahun lalu.

Mohafri Mohamed, 37, didakwa melakukan kesalahan itu ke atas Fazlina Ahmad, 38, di rumah nombor 70, Jalan Pinggiran 2, Taman Pinggiran Ukay, di sini pada 30 Dis 2009 antara pukul 5 pagi hingga 10.30 pagi.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan. Mohafri yang kelihatan tenang di kandang tertuduh hanya mengangguk, menandakan faham terhadap tuduhan ke atasnya.

Majistret Wan Karimah Wan Md Ab Ghani menetapkan 19 Febuari untuk sebutan bagi mendapatkan laporan kimia dan bedah siasat.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Dalia Ali manakala Mohafri diwakili peguam Zainal Ithnin.

Pada 30 Disember lepas, mayat Fazlina dijumpai dalam almari bilik tidur utama di rumah tersebut dalam keadaan berbungkus dengan selimut.

Sementara mulut dan hidung ibu kepada dua cahaya mata itu ditampal dengan pita pelekat dan laporan bedah siasat mengesahkan wanita tersebut mati akibat lemas. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain