suria

Operasi Mencari, Menyelamat Bot Terbalik Ditangguh

PULAU PINANG: Operasi mencari dan menyelamat empat lagi mangsa bot perahu naga yang terbalik akibat dipukul ombak awal pagi semalam ditangguhkan sehingga pukul 8 pagi ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Mohd Razam Tajarahim berkata, operasi mencari dan menyelamat unit scuba dari jabatan itu terpaksa dihentikan kira-kira pukul 7 malam semalam akibat cuaca gelap.

"Esok usaha mencari dan menyelamat mangsa akan diteruskan dengan tambahan anggota dari unit scuba Kedah yang tiba di lokasi lewat petang tadi.

"Kita juga akan menambah tiga lagi bot bagi membantu usaha-usaha mencari dan menyelamat menjadikan semuanya lapan buah bot akan beroperasi esok," katanya.

Hari ini usaha mencari dan menyelamat menerusi laut dan udara dijalankan oleh 60 anggota pasukan keselamatan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.45 pagi itu, sebuah bot perahu naga yang membawa 18 orang terbalik akibat dipukul ombak kira-kira 100 meter dari pantai Lebuh Macallum dekat sini.

Setakat ini dua orang, iaitu pelajar Jason Ch'ng, 17, dan seorang guru Chin Ai Fang telah ditemui lemas.

Empat lagi pelajar Brandon Yeoh, 17; Yong Xiang, 16; Koh Yiz Hiang, 17; dan Cheah Zi Jun, 17, masih belum ditemui.

Mangsa terdiri daripada pasukan pendayung dari Sekolah Tinggi Chung Ling Air Itam yang sedang menjalani latihan mingguan bagi persiapan menyertai Kejohanan Perahu Naga Antarabangsa Pulau Pinang pada pertengahan tahun ini.

Pasukan pendayung perahu naga lelaki sekolah itu terdiri daripada 18 orang iaitu seorang guru (Chin), dua jurulatih dan 15 pelajar.

Mohd Razam berkata, jabatan itu akan berbincang dengan persatuan nelayan tempatan untuk membantu usaha mencari mangsa yang belum ditemui.

Dalam pada itu, difahamkan pasukan keselamatan akan meneruskan rondaan di sekitar kawasan terlibat selama 24 jam sebagai langkah pemantauan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain