suria

MYA Utama Aspek Keselamatan Pelayar

LANGKAWI: Pemakaian jaket keselamatan semasa menjalani latihan dan menyertai pertandingan adalah wajib bagi setiap pelayar sebelum dibenarkan turun ke laut demi keselamatan, kata Pengurus Besar Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA) Mohd Afendy Abdullah.

Setiap pelayar mesti memakai jaket keselamatan dan bot keselamatan akan mengiringi mereka setiap kali menjalani latihan di laut, katanya.

Beliau berkata MYA turut membuat pemantauan di darat dengan menggunakan teropong untuk mengawasi kegiatan pelayar ketika berada di laut di samping berhubung dengan petugas.

"MYA menyediakan garis panduan untuk dipatuhi pelayar dengan menetapkan sebaik sahaja pelayar mencecah kaki dalam air mereka dimestikan memakai alat keselamatan. Jika tidak pelayar berkenaan tidak dibenarkan menjalani latihan dan nama mereka digugurkan jika menyertai pertandingan," katanya.

Beliau mengulas arahan Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Wee Ka Siong supaya aspek keselamatan ketika menjalankan aktiviti kokurikulum di luar kawasan sekolah ditingkatkan ekoran insiden perahu naga terbalik di perairan pantai Lebuh Macallum di Pulau Pinang semalam.

Sehingga ini, empat mayat ditemui dan gerakan mencari dua lagi masih diteruskan. Mohd Afendy berkata Kompleks Latihan Perahu Layar kebangsaan di Langkawi menjadi pusat latihan kepada lebih 20 pelayar elit dan pelapis kebangsaan yang terdiri daripada pelajar sekolah menjalani latihan dalam persiapan menghadapi Sukan Asia 2010 di China pada November depan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain