suria

Kes Nik Sapeia Saman Kerajaan RM20 Juta Ditunda 14 Mac

KOTA BAHARU: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 14 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula perbicaraan kes saman RM20 juta oleh ahli perniagaan Datuk Nik Sapeia Nik Yusoff terhadap polis dan kerajaan Malaysia berhubung tuduhan menyebabkan kecederaan ke atas Tun Dr Mahathir Mohamad pada 2006.

Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim menetapkan tarikh itu bagi membolehkan Ketua Hakim Negara membuat keputusan pemilihan hakim bagi mendengar kes saman berkenaan.

Nik Sapeia, 56, memfailkan dua writ saman di Mahkamah Tinggi di sini pada 13 Ogos 2006 dan menamakan Pegawai Penyiasat ASP Baharin Mohd Noh, bekas Ketua Polis Kelantan Datuk Zulkifli Abdullah dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama, kedua dan ketiga.

Plaintif mendakwa ketiga-tiga defendan mempunyai niat menjatuhkan maruahnya ketika mengendalikan kes bersabit tuduhan menyebabkan kecederaan ke atas bekas Perdana Menteri itu dan tiga yang lain pada 28 Julai 2006.

Beliau juga mendakwa ketiga-tiga defendan itu secara salah menahan dirinya dan menafikan hak-hak kebebasan yang termaktub dalam Perlembagaan Negara.

Plaintif mendakwa berikutan tindakan defendan telah menyebabkan kerugian terhadap plaintif dalam perniagaannya dan telah menjejaskan reputasi dan kredibilitinya di mata masyarakat terutamanya rakan-rakan perniagaan di dalam dan luar negara.

Berikutan itu, plaintif menuntut ganti rugi RM20 juta kerana malu dan menjejaskan perniagaannya serta reputasi plaintif dan apa-apa relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Pada prosiding hari ini Nik Sapeia diwakili peguam Zainal Abidin Mustafa dan Shamsul Bahrain Ibrahim manakala ketiga-tiga defendan diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Aida Nordiana Kamaruzaman.

Pada 14 Januari lalu, Nik Sapeia telah dijatuhi hukuman penjara selama enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini atas kesalahan mencederakan Dr Mahathir dan tiga yang lain termasuk anggota Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali.

Hukuman itu bagaimanapun ditangguhkan selepas selesai proses rayuan di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain